Artikel

Program Pertukaran Pelajar: Miss K-Pop- Transfer Student

oleh Nurul Aqilah Hairulsam pada 21 Apr 2015

Para pelajar manakah yang tidak teruja apabila mendengar tentang program pertukaran pelajar dari luar negara ke sekolah kita?

Lebih teruja lagi buat peminat-peminat setia gelombang K-Pop yang sudah menjadi fenomena luar biasa di negara ini terutama sekali kepada remaja-remaja yang mengikuti perkembangan mereka.

Begitu juga keterujaan Aleena yang membuak-buak apabila mengetahui tentang program pertukaran pelajar dari Korea bersama sekolahnya.

Sikap Aleena yang tidak kuat cemburu akan rakan sekolah, Kamilia yang berjaya dipilih untuk menyertai program tersebut amat dikagumi dan perlu dicontohi adik-adik di luar sana.

Penulis cilik buku ini, Nur Izzati juga berjaya menampilkan watak misteri yang menggelar diri sendiri sebagai Putera Biru di sebalik ruang komen-komen status Aleena dan pesanan di laman sosial Facebook.

Persahabatan antara Putera Biru dan Aleena yang terjalin boleh dicontohi kerana Aleena selalu menerima nasihat-nasihat baik daripada sang gerangan misteri itu walaupun tidak pernah bersua muka.

Semangat yang ditonjolkan oleh pelajar-pelajar Korea seperti membuat persediaan dengan mempelajari Bahasa Melayu dan budaya-budaya orang Melayu amat dikagumi kerana adik cilik kita ini berjaya menerapkan elemen-elemen budaya Melayu dalam buku bertajuk Miss K-Pop ini.

Selain itu, elemen panik dan cemas juga boleh dirasai oleh para pembaca di saat Lee Jong Kook, salah seorang pelajar dari Korea dan Aleena diculik di depan mata rakan-rakan mereka yang lain. Siapa sahaja yang tidak kalut tatkala melihat kejadian itu berlaku di depan mata sendiri?

Pengakhiran cerita juga ditamatkan secara baik sekali dengan pendedahan identiti sebenar Putera Biru. Pasti adik-adik di luar sana juga tidak sabar untuk mengetahui gerangan rakan alam maya yang sering memberikan kata-kata suntikan semangat.

Teruskan setia membaca sehingga ke penghujung buku!

 

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024