Artikel

PTS Hantar Wakil ke Pesta Buku Jakarta

oleh Roziyah pada 30 Jun 2011

Bagi menjalin hubungan yang baik dengan penerbit-penerbit antarabangsa sekaligus menambahkan buku-buku penterjemahan di Malaysia, PTS tidak putus-putus menghantar wakil ke luar negara.

Terbaru, PTS menghantar wakil ke Pesta Buku Jakarta 2011 yang bermula dari 2 hingga 10 Julai 2011.

Kunjungan ini bagi menjalinkan hubungan baik antara PTS dengan penerbit-penerbit di Indonesia sekaligus mencari peluang perlesenan dan penterjemahan di sana.

PTS menghantar seorang editor mewakili setiap unit bagi mencari buku-buku terbaik bagi diterjemah dan diterbitkan di Malaysia.

Wakil PTS yang terlibat adalah Tuan Imran bin Azmi dari PTS Islamika, Mohd Syarafuddin bin Sulaiman dari PTS Millenia, Norhaslinda Abd Razak dari PTS Litera Utama dan Nawal Hakim bin Md Yusoff dari PTS Net Media.

"Hari demi hari, teknologi semakin memudahkan urusan perlesenan buku walaupun penerbit asal terletak beribu-ribu batu dari Malaysia. Walau pun teknologi masa kini memudahkan urusan perlesenan buku, kita tetap menghantar wakil ke sana. Pertemuan secara langsung dapat mengukuhkan kepercayaan sekali gus mewujudkan peluang yang lebih baik berbanding hubungan melalui internet." jelas ketua delegasi, Tuan Imran Azmi kepada wakil media PTS.

Delegasi ini juga membawa judul-judul PTS terbaik dan terkini bagi dilesenkan diluar negara dan mengenal pasti judul baru yang berpotensi bagi diterjemah dan diterbitkan di Malaysia.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025