Artikel

PTS Jelas Kekeliruan Iklan Kempen Maulidur Rasul

oleh Roziyah pada 24 Jan 2011

Berikutan terdapat kekeliruan dalam iklan promosi Maulidur Rasul dalam akhbar Harakah, Pengarah Urusan PTS P&D Sdn Bhd, Tuan Arief Hakim Sani Rahmat membuat kenyataan bagi menjelaskan kekeliruan yang berlaku kepada pelanggan buku-buku keluaran PTS.

Beliau dalam kenyataannya menjelaskan tujuan iklan Maulidur Rasul yang dikeluarkan dalam akhbar Harakah bertujuan memberi notis awal kepada penjual-penjual buku agama perihal kempen yang dirancang oleh PTS.

“Notis awal ini diharapkan dapat membantu kedai buku dan penjual buku agama merancang lebih awal program-program pameran di masjid dan surau sempena sambutan Maulidur Rasul tahun 2011,” jelas Tuan Arief dalam kenyataannya.

Tuan Arief juga menjelaskan kesilapan di pihak PTS apabila tidak meletakkan tanda ‘DI PASARAN FEBRUARI INI’ kepada buku-buku yang dijadualkan bagi diterbitkan sempena Maulidur Rasul ini.

“Bagi iklan-iklan seterusnya, jabatan pemasaran sudah membuat pembetulan dengan meletakkan tanda harga ‘DI PASARAN FEBRUARI INI’ pada tajuk-tajuk buku yang berkenaan.

Selain itu, Tuan Arief juga memaklumkan yang pihak PTS mengalami kelewatan dalam proses mencetak buku-buku berkulit keras.

“Kami jangka buku-buku berkulit keras hanya siap dicetak pada hujung Januari ini. Selain itu, ada satu buku kanak-kanak berillustrasi yang terpaksa digugurkan daripada kempen ini sudah dijadualkan semula. Hal ini kerana draf buku tersebut didapati belum mencapai tahap persembahan dan kualiti yang kita mahukan.

“Saya bagi pihak PTS memohon berbanyak maaf atas kesusahan yang menimpa pihak pekedai dan pelanggan kerana kesilapan PTS. Kami akan berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan PTS kepada kedai-kedai buku yang banyak membantu dan menyokong usaha PTS selama ini,” jelas Tuan Arief lanjut.

Beliau juga menegaskan yang sudah ada 108 kedai buku yang bersetuju menjalankan kempen Maulidur rasul dalam tahun 2011. Jumlah ini tidak termasuk kedai korporat yang turut membuat jualan istimewa sempena bulan kelahiran Rasulullah.
“Ini adalah peningkatan yang cukup baik dalam siri kempen sambutan hari-hari kebesaran Islam dalam industri buku,” ujar Tuan Arief lagi.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024