Artikel

Rahmat Allah Penimbang Kedukaan: Saiful Nang: Kisah Orang Menang

oleh Khairul Aswad Khairul Anuar pada 06 May 2015

Siapa sangka, dengan hanya mengambil foto, kita boleh menjadi seorang berjaya? Tidak perlu belajar sehingga bersimpul urat saraf otak, tidak perlu berjaga malam menyiapkan tugasan kerja, atau tidak perlu menggeletar kaki berdiri di hadapan kelas untuk membentangkan hasil kerja.

Hanya berbekalkan sebuah kamera DSLR dan minat yang mendalam dalam fotografi, beliau telah menjadi seorang berjaya dalam hidupnya.

Namun, bukan calang-calang orang boleh menjadi seperti beliau kerana dedikasi, disiplin dan jati diri yang kuat perlu ada dalam diri bagi menempuh ranjau hidup.

Beliau yang dimaksudkan adalah Saiful Nang, seorang jurugambar professional yang namanya tidak asing lagi di Malaysia.

Khidmatnya sentiasa didamba dan hasil kerjanya sentiasa memuaskan hati. Terkini, beliau telah bersama-sama berkongsikan perjalanan hidupnya bersama dengan Puteh Press.

Seperti kisah-kisah orang berjaya yang lain, Saiful Nang bukanlah berasal daripada keluarga yang senang.

Walaupun begitu, bakat beliau sudah boleh dilihat sewaktu kecil. Di sekolah, beliau telah menjual nasi lemak dan hasil lukisannya kepada rakan-rakan.

Membaca kisah beliau, membuatkan kita terpandang kembali zaman kanak-kanak kita yang hanya tahu bermain dan meminta duit pada ibu bapa. Berbeza bukan?

Dalam naskhah ini juga, Saiful Nang juga ada menceritakan kehidupan anak perempuannya, Orked.

Walaupun beliau mampu melimpahkan segala kekayaan beliau pada anaknya, tetapi tuan Saiful Nang meletakkan anak beliau di rumah pengasih bersama anak-anak yatim jagaannya yang lain.

Daripada situ, anak perempuannya dapat mendalami kehidupan orang lain yang lebih susah.

Membaca kisah ini, kita semua akan tegerak hati untuk berubah. Beberapa tips pengurusan kewangan juga beliau titipkan dalam naskhah ini.

Tidak akan rugi pembaca yang membeli buku ini. Untuk menang, tidak perlu menjadi seperti Saiful Nang. Cukuplah sekadar, mengenang kisah beliau untuk djadikan iktibar dan batu loncatan untuk berjaya.


Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024