Artikel

Resolusi Kongres Kepentingan Bangsa sentuh 29 perkara

oleh Helmi pada 19 Dec 2005

KUALA LUMPUR 17 Dis. - Kongres Kepentingan Bangsa yang berakhir hari ini mengeluarkan resolusi 29 perkara yang antaranya menuntut supaya bahasa Melayu dikembalikan sebagai bahasa pengantar mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah.

Resolusi yang dibahagikan kepada isu pendidikan, sosiobudaya dan ekonomi itu juga menggesa kerajaan meningkatkan pengajaran bahasa Inggeris di sekolah.

Resolusi yang dibacakan oleh Dr. Mohd. Nur Manuty itu juga menuntut supaya pelajar Melayu di institusi pengajian tinggi (IPT) dibiayai sepenuhnya melalui biasiswa.

Turut terkandung dalam resolusi berkenaan ialah desakan termasuk mengembalikan peruntukan geran perkapita sekolah agama rakyat (SAR) dan menghapuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Ini kerana menurut resolusi berkenaan, kewujudan AUKU menyebabkan suasana tidak sihat terhadap kebebasan berfikir serta kreativiti pensyarah dan mahasiswa.

Kongres yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah itu berlangsung selama dua hari di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur mulai semalam.

Selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kongres ini juga berjaya menarik minat pemimpin politik, pelajar dan individu.

Mengenai isu sosiobudaya pula, resolusi yang disokong lebih 1,000 peserta yang mewakili lebih 100 NGO Melayu itu juga sebulat suara bersetuju menubuhkan pasukan peguam Melayu untuk mengkaji pelanggaran peruntukan undang-undang yang menyentuh hak keistimewaan Melayu.

Resolusi itu mendesak semua pihak memainkan peranan berkesan untuk memerangi gejala rasuah termasuk dengan menjadikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebagai sebuah badan bebas dan bertanggungjawab kepada Parlimen.

Turut dimuatkan dalam resolusi enam muka surat itu ialah gesaan supaya Dasar Kebudayaan Kebangsaan dapat dizahirkan dalam bentuk undang-undang dan menggesa orang Melayu supaya menolak fahaman Islam liberal.

Mengenai isu ekonomi, kongres melalui resolusi itu mahukan kerajaan menggantikan semula tanah rezab Melayu yang telah diambil sebelum ini terutama membabitkan kawasan yang strategik.

Resolusi berkenaan juga menuntut pengurusan syarikat milik kerajaan (GLC) supaya dipegang oleh mereka yang cemerlang dan berakhlak tinggi, manakala NGO dan kumpulan profesional yang berkelayakan hendaklah bertindak sebagai pemantau.

Turut dimuatkan ialah mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilihat perlu diteruskan matlamat dan falsafahnya agar dapat menjamin komposisi penduduk Malaysia.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025