Rezeki Milik Allah

oleh Roziyah pada 21 May 2014

kandil_di_kaki_gunung_portal-240x347

Dipetik daripada buku Kandil di Kaki Gunung.

Semakin hampir. Abang Kamil mengajak saya melihat rumah yang bakal kami sewa. Begitu hampir dengan tempat kerja, di SS19, Subang Jaya. Rumah teres dua tingkat mempunyai dua bilik tidur di bahagian atas. Di bawah, ruang tamu, ruang makan dan dan dapur seolah-olah bertindih di antara satu sama lain. Sangat sempit. Tetapi cukup untuk pasangan yang baru berumah tangga. 

Malah, jauh lebih baik baik daripada tempat yang sedang saya diami. Loteng di rumah Chek!

Sedang kami melihat-lihat keadaan rumah itu, tiba-tiba sebuah kereta berhenti betul-betul di depan pintu pagar. Seorang lelaki keluar dan menyapa,  

“Kamil, hendak beli rumah ke?”

“Ya Allah! Tengok rumah sewa. Kamal, kau buat apa di sini?”

“Kami tinggal di sini. Hujung jalan sana. Bakal isteri?”

Kamal memperkenalkan isterinya dan kami bersalaman mesra. Kami saling bertukar cerita. Baru saya tahu bahawa kamal adalah bekas rakan sekelas dan serumah abang kamil. Mereka sama-sama menuntut di peringkat Sarjana Muda di UiTM Shah Alam. Tiba-tiba kamal bertanya,

“Roza, you hendak bekerja dengan syarikat kami? Syarikat multinational  yang mempunyai ibu pejabat di United Kingdom. Kerja lima hari seminggu. Jawatan sebagai account assistant cum electronic database processing. Perlukan diploma. Marilah. Kami sedang mencari pekerja. Just walk-in, datang temuduga selasa depan. 

Subnallah! Saya melihat kasih sayang Allah. Selama ini saya bekerja enam hari seminggu. Dari pukul 8.30 pagi hingga ke senja. Pulang hampir waktu isyak. Solat secara bersembunyi. Hari minggu kadangkala terpaksa dipanggil bekerja. Dalam diam, sering saya membawa pulang kerja secara menyorok semata-mata mahu menyiapkan kerja mengikut jadual. 

———————————————————————————-

Dipetik daripada buku Kandil di Kaki Gunung. Bagi membaca lanjut kisah ini. Layari www.pts.com.my bagi membeli buku secara online atau dapatkan di kedai-kedai buku seluruh Malaysia.