Artikel
Saintis Barat mencari Pencipta cakerawala
oleh Helmi pada 04 Jan 2006
Oleh: ISMAIL HASHIM
Cabaran terhadap teori evolusi ini menjadi lebih hangat dan kontroversial apabila isu pengenalan pendidikan Intellectual Design (penciptaan intelektual) di sekolah-sekolah di beberapa negeri seperti di Pennsylvania, AS pada tahun lalu menjadi sesuatu yang dibincangkan secara terbuka.
Isu ini membuak-buak apabila pihak sekolah di Dover, Pennsylvania memperkenalkan pendidikan Intellectual Design (ID) untuk diserapkan ke dalam mata pelajaran Biologi. Mereka yang menentangnya telah membawa kes ini ke mahkamah.
Walaupun keputusan mahkamah menyebelahi pihak yang menentang, hakikatnya hampir 20 negeri di AS kini sedang memproses kaedah mirip pendidikan ID ke dalam sistem pendidikan sekolah masing-masing.
Malah selain Pennsylvania, negeri-negeri seperti Kansas dan Georgia telah mengorak langkah untuk memperkenalkannya dalam sistem pendidikan mereka. Mengikut teori ini semua benda dan hidupan yang berada di cakerawala tidak datang secara kebetulan atau secara tidak sengaja tetapi sebagai akibat daripada penciptaan atau rekaan intelektual.
Ini bermakna ada suatu kuasa `Maha Pencipta Intelektual’ yang mengatur dan menjaga alam cakerawala ini dan `Dia’ jugalah yang mencipta semua benda dan hidupan.
Sehubungan itu dalam menjelaskan konsep ini Michael Behe, pencetus idea kepada ID berkata teori ini bukanlah bersandarkan kepada idea keagamaan walaupun mereka yang beragama menentang pendidikan sains melalui teori evolusi.
Apa yang menarik untuk difikir dan direnungkan daripada perdebatan antara ID dan teori evolusi ialah terdapatnya suatu kesedaran di kalangan para saintis di Barat bahawa wujudnya `Maha Pencipta’ di bumi ini.
Apa yang berlaku sekarang akan terus mencabar teori evolusi Darwin yang sememang tidak dapat dibuktikan itu. Pada awal tahun 1980-an Dr. Sulaiman Nordin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menghasilkan buku yang menentang teori evolusi Darwin yang menolak pewujudan Tuhan.
Malah Islam sejak mula dahulu (keimanan dan tauhid kepada Allah) telah menolak pandangan ateis ini.
Dari segi sejarahnya kemajuan ateisme di Barat dapat didokumentasikan melalui sejarah pendidikan biologi pada abad ke-20 lalu. Ahli sejarawan Universiti Cornell, William B. Province menunjukkan bahawa pada tahun 1920-an masih ramai ahli evolusi sains yang berpegang kepada agama.
Pada masa yang sama teori evolusi Darwin masih kabur, di mana hipotesis teori kuasa bermatlamat masih digunakan yang menunjukkan kehidupan ini sedang bergerak ke arah sesuatu yang kompleks.
Ahli falsafah semasa itu seperti Henry Bergson, ahli teori evolusi Perancis, Pieirre Teilhard de Chardin dan Ketua Muzium Sejarah Asal Bumi, Henry Osborn beranggapan bahawa terdapat suatu kuasa yang mengatur dan memandu proses evolusi yang berlaku. Perwujudan kuasa ini berdasar kepada suatu kepercayaan konsensus pada tahun 1920-an.
Boleh dikatakan ia adalah langkah awal menuju ke arah mengaitkan kuasa itu dengan Tuhan.
Namun pandangan konsensus itu berpihak kepada aliran Darwinisme pada tahun-tahun 1930-an dan 1940-an dengan perkembangan teori Modern Syntesis melalui proses evolusi secara semula jadi.
Ia membawa mekanisme evolusi dalam kehidupan alam seperti pembiakan binatang dan perkembangan tumbuhan serta (juga kononnya penciptaan manusia daripada beruk) semuanya berlaku secara semula jadi (yang dimaksudkan ialah tanpa campur tangan Tuhan), secara tidak sengaja atau proses mutasi. Organisma diciptakan melalui mekanisme penentuan semula jadi dan secara rawak.
Menjelang tahun 1940-an, semua kesan dan jejak Tuhan dalam ilmu biologi dan ilmu-ilmu sains lain telah dihapuskan langsung dalam pendidikan sains.
Pembuktian sains terkini dan ketiadaan sisi kerohanian dalam tamadun Barat menyebabkan masyarakatnya telah menyedari kesilapan mereka dan mengalih perhatian kepada mencari Tuhan.
Seorang ahli fizik Barat, Frank Tipler dalam bukunya Physics of Immortality meyakini tentang `Maha Pencipta’ di alam cakerawala ini bahkan mengemukakan bukti melalui fizik tentang kepercayaan hari akhirat iaitu mati hidup semula. Ia mengemukakannya melalui teori fizik keabadian.
Beliau mengemukakan bukti-bukti saintifik mengenai perwujudan Tuhan dan kebangkitan semula secara fizikal diri manusia yang telah mati. Ini tentu berkait rapat dengan hari kebangkitan sebagaimana dijelaskan dalam al-Quran.
Sebelum ini pun seorang ahli fizik, Fritjof Capra dalam bukunya The Tao of Physics mengkaji pendekatan mistik ketimuran daripada agama Buddha, Hindu dan Taois melalui eksplorasi mencari hubungan, persamaan dan perkaitan antara mistisisme Timur dan fizik moden Barat.
Menurut Capra tradisi mistik Timur mengandungi falsafah rangka kerja bersepadu yang dapat diterapkan ke dalam fizik moden. Capra menganjurkan inilah masa depan fizik baru bagi Barat.
Selain Capra, Danah Zohar dan Ian Marshall melalui buku bernama Spiritual Intelligence membicarakan mengenai muatan kerohanian dalam budaya Barat yang pekat kebendaan, kering moral dan nilai-nilai baik serta mulia dan cenderung bersifat individualistik itu.
Zohar dan Marshall cuba melengkapkan apa yang telah wujud melalui IQ dan EQ (Emotional Intelligence) yang mana menekankan kepada kecerdasan dan kepintaran mental serta kecerdasan emosi.
Begitu juga dengan pengarang Neal Donald Walsch dengan bukunya Tomorrow’s God yang meramalkan suatu perkara besar yang akan berlaku di planet Bumi ini. Baginya kemanusiaan akan mewujudkan bentuk kerohanian baru. Ia akan membenarkan manusia membuka hati dan jiwa ke arah untuk menuju ke arah ketuhanan.
Apa yang berlaku ini menunjukkan keresahan di kalangan saintis, ahli psikologi dan cendekiawan Barat mengenai masa depan tamadun Barat yang sedang membawa manusia menuju kehancuran.
Di sebalik kecanggihan teknologinya, tamadun Barat sudah bankrap idea kerana tidak ada apa-apa lagi yang hendak ditawarkan berhubung kerohanian dan nilai mulia atau moral untuk pembaikan manusia.
Bagi kita umat Islam perkembangan yang berlaku agak menarik dan harus diberikan perhatian.
Mungkin terdapat kalangan cendekiawan mereka ingin merujuk kepada kebenaran ketuhanan tetapi takut atau tidak ingin mengaitkannya dengan Islam.
Di samping itu umat Islam tidak perlu terikut-ikut dengan rentak dan trend yang berlaku di Barat kerana ketuhanan yang mereka maksudkan mungkin tidak merujuk kepada Allah.
* Ismail Hashim adalah Pensyarah Komunikasi di Kolej Han Chiang, Pulau Pinang