Artikel

Santapan Rohani Menjelang Ramadan

oleh Nabilah Huda Megat Mohamad Hamdan pada 01 Jul 2014

Bulan Ramadan ialah bulan yang mulia lagi berkat. Terdapat banyak kelebihan dan keistimewaan dalam bulan Ramadan sebagaimana hadith daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda “Apabila datang bulan Ramadan, terbukalah pintu-pintu syurga” (Riwayat Bukhari).

Oleh itu, sebagai Muslim yang bertakwa, kita harus membuat pelbagai persediaan untuk menghadapi Ramadan. Sejajar dengan itu, pihak PTS telah menjemput Ustaz Ebit Lew untuk menyampaikan sedikit sebanyak ilmu agama kepada warga PTS pada hari Jumaat, bersamaan 27 Jun 2014.

Perkongsian daripada Ustaz Ebit Lew mengupas tentang bulan Ramadan yang sangat mulia di sisi Allah. Antara pengisiannya adalah bulan Ramadan bukan hanya menahan lapar dan dahaga, tetapi juga untuk menahan diri daripada mendengar, bercakap, dan melihat perkara-perkara yang lagha. Selain itu, Ustaz Ebit juga menjelaskan bahawa kita perlu membetulkan niat dan azam kita sebelum berpuasa iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t dengan berpuasa, solat tarawih, solat tahajud, mencari lailatul qadar, bersedekah, dan juga membayar zakat.

Beliau juga menyatakan bahawa masyarakat Islam pada hari ini lebih ke arah melakukan persediaan menyambut Syawal. Tidak salah untuk membuat persiapan yang meriah bagi menyambut bulan tersebut, tetapi Ramadan juga harus disambut dengan lebih meriah. Namun begitu, perlu juga diingatkan bahawa elakkan membazir dalam bulan Ramadan dengan membeli juadah berbuka yang berlebihan.

Ringkasnya, persediaan utama untuk bertemu bulan mulia ini adalah dengan melengkapkan diri dengan kekuatan rohani dan jasmani. Umat Islam juga perlu tahu tentang ilmu-ilmu bagi merebut segala tawaran yang ditawarkan dalam bulan Ramadan terutamanya mencari lailatul qadar, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Semoga kita semua dapat menjadi insan yang lebih baik di sisi Allah s.w.t dengan meningkatkan iman, amal, dan ibadat. Selamat berpuasa.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024