Artikel
Seni : Penangan Curahan Cinta Niagara
oleh Helmi pada 08 Aug 2007
Mira Azilah, gadis kelahiran Janda Baik, Pahang, digambarkan melalui kehidupan penuh ranjau apabila terpaksa membesar dalam serba kekurangan dan lebih menyayat hati tanpa kasih sayang seorang bapa, tetapi menerima segala dugaan itu dengan tabah kerana yakin ia sebahagian daripada ujian Ilahi.
Novel setebal 49 bab ini, dimulai dengan kisah Mira melanjutkan pelajaran di State University of New York, Amerika Syarikat dan dipertemukan dengan Faris, anak hartawan yang suka berfoya-foya dan mengambil kesempatan ke pelajar wanita.
Bagaimanapun perangai buruknya berubah ketika mula mengenali Mira, gadis berhati tulus yang berjaya menambat hatinya sehingga akhirnya memaksa dirinya berusaha memenangi hatinya meskipun terpaksa menggunakan kekerasan dan berkesudahan dengan kemalangan jalan raya yang menyebabkan Faris lumpuh.
Mira yang berasa kasihan dan bersalah atas nasib yang menimpa Faris, akhirnya sudi mengahwini pemuda itu, meskipun tahu calon suaminya mengidap penyakit HIV akibat pergaulan bebas di samping berusaha menjadi isteri terbaik kerana reda dengan ketentuan Tuhan buat dirinya.
Ketabahan Mira teruji juga apabila dia tidak dapat mengecap nikmat berumah tangga selayaknya sebagai isteri dan terpaksa melayani suami yang bertukar menjadi pemarah, berputus asa dan sering meringankan hukum agama.
Kebencian ibu mentua Mira, Datin Faridah yang tidak merestui perkahwinan pasangan terbabit pasti meruntun jiwa pembaca dan pengarang turut meruntun jiwa apabila disogokkan dengan kisah abang ipar Mira, Farhan yang tegas lagi cengil, jatuh cinta pandang pertama lewat kunjungannya bersama Mira dan Faris di Air Terjun Niagara.
Kematian Faris membuka peluang kepada Farhan untuk merebut cinta Mira dan keadaan memihak kepadanya apabila Faris meninggalkan wasiat agar abang serta isterinya itu disatukan, meskipun hati gadis itu sebenarnya berbelah bagi.
Mira akhirnya menerima lamaran daripada keluarga Datuk Rashid dan keputusan itu nyata menyebabkan pisang berbuah dua kali apabila gadis itu terpaksa hidup sengsara lantaran mengahwini lelaki yang sering dibayangi peristiwa silam.
Berkat Ketabahan dan kesetiaan, bahagia akhirnya menjengah, tetapi kehadiran Azrin, bekas pesakit Gangguan Stres Pascatrauma (PTSD) yang diterima bekerja di Syarikat Titian Maju milik Farhan, hampir menggugat kebahagiaan mereka yang baru menjengah.
Kebaikan dan kelembutan Mira mengingatkan Azrin kepada ibunya, kekasaran Farhan pula mengingatkannya kepada kebengisan bapa tirinya dan akhirnya menjadikan Azrin semakin keliru serta hampir meragut nyawa Farhan kerana kenangan kepafa bapa tirinya.
Sungguhpun novel tampil dengan judul Curahan Cinta Niagara, hakikatnya ia dibaluti dengan nilai Islam, sarat pengertian, motivasi dan nasihat kerana pengarang bijak menyelitkan petikan daripada al-Quran dan terjemahannya serta beberapa hadis sahih bagi memperkuatkan hujah dalam menjawab setiap konflik.
Pembaca juga pasti berasa betapa ikatan perkahwinan itu sebenarnya indah, sekiranya setiap pasangan tahu menikmati dan menghargai kesucian perhubungan terbabit dan sentiasa berusaha berpandukan kepada ajaran Islam.
Jurutera tulis novel berunsur Islam
MAYA Iris nama pena bagi Mariah Abd Rahim, jurutera yang juga Pengurus Kanan, Jaring Communications Sdn Bhd, tampil dengan novel sulungnya, Curahan Cinta Niagara, meskipun hakikatnya tidak pernah terbabit dunia penulisan kreatif sebelum ini.
Pengalaman memesrai bidang kejuruteraan sistem komputer selama 20 tahun tidak pernah menghalang ibu kepada lima orang anak ini untuk berkarya, bahkan mereka dan suami tersayang menjadi pembakar semangat untuk membolehkan karyanya berada di pasaran.
Pengarang kelahiran Klang, Selangor dan kini menetap di Bandar Kinrara, Kuala Lumpur, adalah lulusan Sarjana Sains Komputer dari Southern Illinois University (SIU), Carbondale, Amerika Syarikat (AS) dan sebelum itu menerima sarjana mudanya dari State University of New York (SUNY), New Paltz, AS.
Sikap sukakan cabaran dan melakukan perkara di luar bidang kepakarannya ternyata menjadi titik tolak kejayaannya untuk tampil dengan novel berunsur Islam, Curahan Cinta Niagara, meskipun judulnya menimbulkan tanda tanya.