Artikel

Setiap Masalah Ada Penyelesaian: Ustaz, Tolong Saya!

oleh Siti Nur Shahira Zakaria pada 28 Mar 2014

Dengan menggelar diri sebagai Ustaz Love, penulis menggunakan blog sebagai medium untuk beliau mencurahkan idea dan pandangan mengenai masalah yang melanda masyarakat masa kini.

Penulis turut menyediakan ruangan soal jawab untuk membantu mereka yang tidak mempunyai tempat untuk bertanya atau malu untuk bercerita mengemukakan soalan kepada beliau. Kini, Ustaz Love ditawar  menukilkan segala penulisannya di blog dalam sebuah buku fizikal.

Buku yang diberi judul Ustaz, Tolong Saya! diharap dapat dijadikan panduan dan membantu menyelesaikan masalah pembaca yang mempunyai masalah hampir sama dengan topik yang dibincangkan. Bersesuaian dengan namanya Ustaz Love, penulis memilih untuk membukukan koleksi soal jawab dari blognya berkenaan dengan cinta dan perhubungan sebelum perkahwinan.

Beliau berpendapat, proses pembentukan keluarga bahagia adalah bermula dengan pemilihan calon pasangan sebelum berkahwin. Buku ini sangat berguna untuk pembaca di luar sana. Terdapat hampir 56 soalan yang ditanyakan oleh mereka yang mempunyai masalah kepada beliau.

Jawapan bagi setiap soalan yang diajukan dapat dijadikan panduan apabila dilanda masalah dan tidak mempunyai teman untuk bercerita. Tambahan pula, jawapan yang disediakan oleh penulis adalah berbentuk santai dan tidak sukar untuk difahami.

Penerangannya juga adakalanya terselit lawak jenaka yang dapat menghiburkan pembaca yang sedang bersedih.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024