Silap Kira Dalam Ujian, Boleh Melayang Markah. Silap Kira Dalam Hidup, Boleh Melayang Nyawa.

oleh Asri Yussof pada 20 May 2016

img_20160523_102031

Buat peminat siri Komik Misi, Nazry Salam kini kembali dengan karya terbaru beliau, iaitu Misi Kira: Cabaran Infiniti.

Ia adalah Misi Kira kedua selepas novel remaja Misi Kira: Pertandingan Matematik diterbitkan oleh Komik M, imprint PTS Publishing House tahun lalu.

Membaca karya penulis daripada Tim Misi ini akan membawa IQ kita ke satu tahap yang lebih tinggi.

Mengekalkan watak utama seperti dalam novel sebelum ini, jalan cerita dan plot yang dikarang boleh mendebarkan kita. 15 bab dalam novel ini menarik perhatian untuk dihabiskan pembacaannya tanpa rasa bosan.

Jalan cerita yang penuh suspen juga mengingatkan pembaca kepada gaya penyiasatan siri animasi terkenal Jepun, Detective Conan.

Permasalahan Matematik yang kusut menunjukkan geniusnya penulis dalam mengarang cerita terbaru ini.

Cerita kali ini mengisahkan tiga sahabat iaitu Sina, Lim, dan Mutu yang menyertai Pertandingan Matematik Kebangsaan.

Pertandingan ini bukan sahaja menguji kebijaksanaan otak mereka dalam mengira nombor-nombor, tetapi juga ketahanan fizikal.

Pertandingan yang agak tidak logik ini dan berbahaya pada pandangan orang lain disahut juga oleh tiga sahabat ini.

Misi utama mereka menyertainya adalah bagi menjejaki kehilangan pak cik Sina dan ayah Lim yang disyaki diculik.

Hal itu menyebabkan mereka tekad menamatkan pertandingan sebagai juara walaupun mengetahui pelbagai konspirasi dirancang.

Bersaing dengan 20 kumpulan terbaik dari seluruh negara membuatkan cabaran bagi memenangi pertandingan lebih getir.

Setiap kiraan yang dilakukan penuh dengan berhati-hati kerana sedikit kesilapan boleh menyingkirkan mereka daripada pertandingan. Jikalau hal itu berlaku, misi mereka menjejak kehilangan pak cik Sina dan ayah Lim akan terkubur.

 

Mampukah kumpulan mereka yang dikenali dengan Sinaran memenangi Pertandingan Matematik Kebangsaan? Adakah konspirasi itu dapat dirungkai oleh Sina dan kawan-kawannya?

Tersilap kira, nyawa jadi taruhan. Siapakah sebenarnya dalang kepada kehilangan pakar-pakar Matematik seluruh negara dan pak cik Sina serta ayah Lim?

Teruskan bersama-sama merungkai kod-kod rahsia bagi mengetahui nasib mereka.