Artikel
Solat Tahajud dari Sudut Perubatan
oleh Roziyah pada 11 Aug 2011
Ada teori yang mengatakan manusia perlu tidur selama 6 hingga 8 jam sehari. Namun demikian, teori ini ditolak oleh para sainstis Barat seperti Dr Ray Meddis, seorang profesor di Department of Human Sciences, England University of Technology. Beliau mengatakan, "Manusia sebenarnya perlu tidur malam selama tiga jam sahaja."
Keperluan tidur hanyalah bagi merehatkan sistem dalam badan dan minda kerana sudah bekerja sebelum ini. Tidur yang banyak boleh melemahkan sistem itu bagi jangka masa panjang.
Mengikut kata-kata Ustaz Ismail bin Said, cucu Tok Guru Pulau Ubi, Allah mencipta udara khas yang diperlukan untuk sistem badan manusia. Udara ini hanya terdapat pada tiga perempat malam atau lebih kurang pukul 3.00 pagi sehingga terbit matahari. Beliau menyarankan supaya udara ini perlu disedut melalui hidung dan dihembuskan melalui mulut. Ia boleh dilakukan seberapa banyak kali yang mungkin. Sebaiknya, ia perlu dijadikan amalan supaya sistem dalam badan sentiasa sihat dan dapat menghindari daripada sebarang penyakit.
Pendapat ini disokong pula oleh Ustaz Sanusi bin Ismail, cicit Tok Guru Pulau Ubi. Namun demikian, beliau menambah supaya udara yang disedut melalui hidung itu, ditahan beberapa saat sebelum dihembuskan melalui mulut. Ia bertujuan supaya udara yang disedut itu dapat meresap ke dalam sistem badan.
Amalan ini hanya boleh dilakukan oleh orang yang sentiasa bangun malam bagi menunaikan solat Tahajud dan sebagainya. Oleh itu, seharusnya kita mengubah minda dan persepsi sebelum ini yang bertapak dalam fikiran kita. Saranan ini bertepatan dengan ajaran Islam yang memerlukan umatnya bangun pada waktu malam bagi menunaikan solat Tahajud.
Artikel dipetik daripada buku Adab Ramadan dan ditulis oleh Absyar Fuad dan Suzana Ismail.