Artikel

Tafsir Agung Ulama Nusantara yang Wajib Anda Baca

oleh Muhammad Syarafuddin Sulaiman pada 27 Jul 2015

Saya tidak tahu tuan puan. Tetapi Hamka sentiasa mempunyai tempat yang istimewa di hati sendiri. Saya lupa bila mula-mula mengenali beliau, tetapi dalam ingat-ingat lupa, agak-agaknya sewaktu sekolah menengah.

Dalam watak seorang lelaki bernama Hamka, ada pesona yang sukar saya gambarkan dengan tepat. Ada rasa kagum bercampur iri.

Apabila kita baca naskhah-naskhah novel beliau, terasa begitu terbuai-buai, begitu indah bahasa dan baik susunan plotnya, sehingga kita terlupa yang menulis ini, seorang ulama.

Beliau ulama, tetapi jarang sekali beliau kaku.

Begitulah apabila bercakap soal Tafsir Al-Azhar. Ini karangan ulama, benar-benar cendekiawan, tetapi darah seninya tidak gugur.

Banyak waktu, kita dapat “melayan” sahaja pembacaan tafsir ini seperti membaca buku cerita. Walhal kalau belek semula ke depan, kita akan sedar, ini sebuah tafsir. Sebuah kitab yang menjelaskan Al-Quran.

Bukan buku main-main.

Memang ini bukan buku main-main. Tidak banyak tafsir yang ditulis di Nusantara, dan tafsir ini adalah salah satu daripada yang mampu dibilang dengan jari itu.

Kemudian dengan kemodenan konteks dan juga usaha Hamka memenuhi keperluan-keperluan ahli tafsir, sama ada secara kekuatan bahasa Arab, asbabun nuzul, nasikh mansukh, ilmu hadith, dan ilmu fiqh, pada saya, Tafsir Al-Azhar wajar menjadi tafsir pertama orang yang bertutur bahasa Melayu.

Ada sebab kenapa saya kata tafsir ini wajar menjadi tafsir pertama orang yang bertutur bahasa Melayu.

Bukan semata-mata kerana tulisannya memang asli bahasa Melayu. Ataupun hanya kerana bahasanya sedap dan mudah.

Oleh sebab Prof. Dr. Hamka itu hidup seperti Melayu dan hampir dengan masyarakatnya, beliau faham benar apa yang dekat dengan hati orang Melayu.

Juga bagaimana untuk menjelaskan sesuatu dengan cara Melayu.

Kedua-dua ini sangat penting. Ini kerana dengan menyentuh perkara-perkara yang wujud dalam hidup pembaca, maka antara faedahnya adalah pembaca dapat terus mengamalkan ilmu penulis. Ilmu tidak tinggal sekadar tahu, tetapi mampu pula bertukar menjadi amal.

Pada masa yang sama, meneliti tafsir ini membuktikan yang Al-Quran itu kitab yang “hidup” dan petunjuk.

Kerana sekalipun sudah 1000 tahun lebih diturunkan, Al-Quran masih terus-menerus membimbing dan memandu kita.

Kemudian dengan menjelaskan melalui “gaya Melayu”, proses membaca dan belajar itu menjadi lebih lancar. Tidaklah tersekat-sekat kerana istilahnya terlalu banyak yang asing-asing ataupun kerana contoh-contohnya terasa jauh. Juga menunjukkan yang ajaran Al-Quran itu universal.

Sekalipun kita jauh secara geografi dan budaya dengan tanah dan bangsa Arab, namun pemahaman itu terpakai.

Belum lagi dikira soal perbezaan waktu dan zaman.

Tetaplah jangan disalah faham perkataan “Melayu” dalam konteks bangsa semata-mata. Boleh sahaja perkataan “Melayu” di atas ditukar kepada “Indonesia” ataupun “Malaysia”.

Terpenting, tulisan beliau adalah tulisan untuk orang ramai dan insya Allah dapat dihadam oleh orang biasa.

Buya Hamka juga tidak culas dalam memetik tafsir-tafsir bandingan yang lain, sama ada yang klasik seperti tafsiran Ibnu Abbas ataupun yang kontemporari seperti Rasyid Ridha.

Dari segi kosmetiknya, susun atur (layout) tafsir ini kemas, dengan pemilihan saiz huruf dan jenis huruf yang mudah dibaca.

Selain itu, penggunaan warna-warna yang berbeza juga membantu kita menelaah naskhah ini dengan berkesan.

Tulisan ini sudah agak panjang, sekalipun banyak lagi yang mahu ditulis. Tetapi cukuplah tuan puan maklum, kalau pun tidak sudah tahu.

Bahawa Tafsir Al-Azhar ini adalah “tafsir air mata dan juga tawa”.

Kerana tafsir ini selama beberapa tahun ditulis di penjara. Dan kerana tafsir ini jugalah, penghormatan umat Nusantara kepada Hamka menjadi lebih kukuh.

Sehinggakan Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu berkata, “Hamka bukan hanya milik bangsa Indonesia, tapi juga bangsa-bangsa Asia Tenggara.”

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024