Artikel

Tahun 2032 Sebuah Realiti Atau Sekadar Simulasi

oleh Syifa Wan pada 25 May 2016

Tahun 2032, dunia sudah berubah wajah. Penulis novel ini Simulasi, Lokman Hakim memaparkan latar tempat yang begitu mengujakan. Dunia sudah berubah alam dan panorama. Kali ini dengan wajah Simulasi.

Simulasi. Sebuah karya yang membuatkan pembacanya harus berfikir sama ada watak-watak dalam karya tersebut sekadar ilusi atau realiti. Karya yang membuatkan pembacanya berfikir dunia yang didiami sekadar simulasi atau mimpi. Mungkin juga sebuah realiti yang sukar difahami.

Cuba kita bayangkan dengan hanya sebuah manuskrip, seluruh hidup anda berubah sekelip mata. Syukri mahukan kehidupannya kembali seperti dahulu.

Memiliki seorang adik autisme memerlukannya untuk menambahkan lagi pendapatan keluarganya. Bayangan yang selalu dilihat oleh Nora menjadikan dia sering kali meracau dengan tiba-tiba.

Kakaknya Fateha cuba memulihkan adiknya itu daripada kesukaran autismenya.  

Penyakit autisme Nora dikaitkan dengan kewujudan The Machina dan The Silencer dalam dirinya.

Kewujudan The Silencer dan keengganannya untuk bergabung dengan The Machina menjadikan Nora seperti seorang autisme yang tidak tahu untuk bertutur. Sedangkan hakikatnya kewujudan The Silencer menjadikan Nora sedemikian.

Semakin lama, mereka merasakan dunia semakin aneh. Syukri, Fateha, dan Nora melihat refleksi seorang lelaki bertubuh kekar dengan wajahnya dilitupi rambutnya yang panjang.

Refleksi lelaki itu mula muncul dalam bayangan Syukri selepas dia menerima manuskrip yang perlu disunting.

Kehadiran Marissa, seorang penulis manuskrip itu menimbulkan tanda tanya dalam diri Syukri dan Fateha. Ini kerana, wajahnya mirip sekali dengan adik mereka Nora.

Kemunculan lelaki bertubuh kekar yang dipanggil The Machina itu menimbulkan kekacauan dalam kehidupan mereka yang dahulunya normal.

Dunia yang dipanggil simulasi itu semakin membingungkan. Kehadiran The Machina yang menganggap dirinya sebagai tuhan menjadikan dunia simulasi semakin kucar-kacir.

Persoalannya siapakah pencipta simulasi ini? Mengapa dunia sebegini dicipta.

Setiap kejadian yang berlaku ke atas watak-watak dalam novel ini membuatkan pembacanya tertanya akan kesudahan novel ini. Persoalan demi persoalan timbul.

Siapakah pencipta simulasi? The Machina? The Silencer? Mengapa Syukri dan adik-adiknya boleh terperangkap di dalam dunia simulasi ini?

Apakah kaitan di antara The Machina dan The Silencer dengan Nora menimbulkan tanda tanya. Sangat suspen.

Apakah yang akan terjadi ke atas dunia simulasi sekiranya The Machina dan The Silencer bergabung? Kita akan membacanya sehingga helaian terakhir

Setiap perkara yang berlaku dalam simulasi seolah-olah hal tersebut benar-benar berlaku. Kesakitan yang dirasai sewaktu berada dalam dunia simulasi turut dapat dirasai jasad yang sebenar.

Simulasi realiti ataupun sekadar imaginasi?

Buat peminat-peminat fiksyen sains, saya pasti novel Simulasi ini akan membuatkan kita tersenyum dan bermonolog, ‘Power!’


Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024