Artikel
Tangguhkan Kepuasan Hari Ini
oleh Helmi pada 08 Aug 2005
Ciri ini menyebabkan seseorang itu sanggup menangguhkan kepuasan hari ini bagi menikmati kepuasan yang lebih besar pada hari esok.
Setiap individu mempunyai banyak keinginan dan hanya apabila keinginan itu dipenuhi, mereka berasa puas. Sesetengah individu tidak sanggup hendak menangguhkan kepuasan, sebagai contoh, apabila mereka mempunyai wang, mereka terus membeli apa yang mereka ingini. Ada kalanya mereka tidak menunggu sehingga mereka mempunyai wang itu, disebabkan mereka terlalu ingin memiliki apa yang ingin dimilikinya itu, mereka sanggup berhutang-piutang.
Ingatkah lagi kisah angsa yang bertelur emas? Lelaki itu tidak sanggup menunggu angsa itu bertelur sebiji-biji, dia mahu mendapatkan semua telur itu serentak, lalu dibunuhnya angsa itu dan dibuka perutnya kerana hendak mengambil telur-telur yang ada di dalam badan angsa itu. Ia adalah kisah berkenaan seorang yang tidak sanggup menangguhkan kepuasan.
Salah satu ciri personaliti orang kelas bawahan yang berbeza daripada personaliti orang kelas menengah adalah kesanggupan menangguhkan kepuasan. Menurut kajian mereka, golongan kelas bawahan tidak sanggup menangguhkan kepuasan, di mana mereka hendak memuaskan keinginan mereka dengan segera. Mereka tidak mahu menunggu sehingga satu masa nanti supaya dapat menikmati kepuasan yang lebih besar lagi. Akibat tidak sanggup menangguhkan kepuasan, golongan ini tidak mempunyai tabungan, menyebabkan mereka tidak berupaya membuat pelaburan. Malah mereka tidak pernah kering daripada berhutang.
Walter Mischel di Universiti Stanford mencipta ujian personaliti yang dikenali dengan nama ujian gula-gula getah. Ujian ini pernah diberikan kepada sekumpulan kanak-kanak tadika berusia empat tahun. Dalam ujian itu, kanak-kanak itu diberi gula-gula getah sebiji seorang. Kemudian mereka diberitahu jikalau mereka sanggup menunggu sampai si penyelidik datang lagi, mereka boleh dapat dua biji gula-gula. Kalau tidak sanggup menunggu, mereka boleh makan gula-gula yang sudah diberikan. Mereka boleh makan gula-gula itu sekarang juga. Bagi kanak-kanak empat tahun, ujian begitu sangat berat bagi hati dan perasaan mereka. Ujian itu adalah konflik dahsyat antara nafsu dan kesabaran, antara mahu puas sekarang dan sanggup menanti kepuasan yang lebih besar, antara kehendak hati dan kesanggupan menahan diri. Apa yang akan dibuat oleh kanak-kanak itu mengandungi erti yang penting. Ia menerangkan peribadi kanak-kanak itu dan memberi gambaran jalan hidup yang akan dilalui oleh kanak-kanak itu pada masa depan.
Keupayaan menahan runtunan nafsu adalah kemahiran psikologi yang paling penting. Ia adalah asas kepada tabiat dan keupayaan mengawal diri sendiri. Ia mengawal sifat cepat dan gopoh bertindak. Sebahagian daripada kanak-kanak itu sanggup menunggu si penyelidik pergi. Bagi mereka masa kira-kira dua puluh minit itu tentulah sangat mencabar. Demi menahan nafsu daripada memakan gula-gula getah yang ada di depan mata, antara perkara- perkara yang mereka lakukan adalah menutup mata supaya tak nampak godaan itu, meletakkan kepala atas lengan, bercakap-cakap dengan diri sendiri, menyanyi-nyanyi, main-main dengan tangan dan kaki sendiri dan ada yang cuba tidur sambil menunggu. Mereka akhirnya mendapat dua biji gula-gula getah yang dijanjikan. Yang lain, sebaik-baik si penyelidik keluar pintu, cepat-cepat memakan gula-gula yang diberikan.
Ujian itu dijalankan pada tahun 60-an dan Prof. Weshler mengikuti hidup setiap kanak-kanak itu sehingga mereka tamat sekolah menengah. Ia mengambil masa selama 14 tahun. Beliau mendapati terdapat perbezaan ketara pada sifat emosi dan sosial antara kanak-kanak yang sanggup menunggu dan yang tidak sanggup menunggu untuk makan gula-gula getah itu. Kanak-kanak yang sewaktu berusia empat tahun sanggup menahan sabar dan menunggu si penyelidik balik supaya mendapat dua biji gula-gula, didapati apabila sudah remaja mereka memiliki kemahiran sosial yang tinggi.
Mereka menunjukkan sifat keberkesanan diri, tahu menghadapi kegagalan dan kekecewaan, tidak mudah putus asa dan tahu mendapatkan apa yang mereka mahu. Mereka lebih tabah, lebih berdaya usaha, lebih bertekad dan lebih cekal. Mereka sanggup menghadapi cabaran, tidak mudah mengalah pada tekanan dan tidak takut menghadapi kesusahan. Mereka lebih berdikari, lebih yakin pada diri sendiri, lebih amanah dan lebih dapat diharapkan. Mereka lebih bersedia mengambil daya usaha sendiri dan sanggup ikut serta menjalankan apa tugas. Seperti sewaktu umur mereka masih empat tahun, berbelas-belas tahun kemudian mereka masih menunjukkan sifat yang serupa, iaitu sanggup menahan sabar dan menunda kepuasan demi mencapai apa yang mereka hajati.
Kanak-kanak yang tidak sabar-sabar lagi terus memakan gula-gula getah itu didapati mereka kurang memiliki sifat peribadi seperti di atas. Sebagai remaja mereka tidak berapa berminat menjalin hubungan sosial. Mereka lebih degil dan tidak pandai membuat pilihan. Mereka mudah kecewa, patah semangat dan putus asa. Mereka tidak tabah, cepat menarik diri daripada terus berusaha. Mereka tidak percaya kepada orang lain dan selalu berasa tidak cukup. Mereka mudah dengki dan cemburu kepada orang lain, mudah marah-marah, mudah bertengkar dan bergaduh. Seperti semasa mereka berusia 4 tahun, sesudah mereka menjadi remaja pun mereka masih tidak pandai menahan sabar dan menangguhkan kepuasan.
Yang lebih memeranjatkan, apabila kanak-kanak itu diuji sekali lagi, kali ini ujian dijalankan pada tahun akhir sekolah menengah mereka, didapati kanak-kanak yang sanggup menunggu bagi mendapat dua biji gula-gula getah, mereka menjadi pelajar yang jauh lebih cemerlang daripada rakan-rakan mereka yang tidak sabar menunggu. Mereka pandai belajar mata pelajaran sekolah, pandai mengemukakan idea mereka secara lisan dan secara tulisan, pandai berfikir, pandai menumpukan perhatian, pandai membuat rancangan dan melaksanakannya.
Ujian gula-gula getah itu nampak simpel tetapi ia membolehkan kita mengetahui keupayaan seseorang kanak-kanak kecil mengawal nafsu dan perilakunya sendiri. Keupayaan inilah yang kemudian digunakan dalam alam dewasa bagi mencapai sebarang matlamat; daripada menyimpan, melabur, berlatih mendaki gunung ataupun belajar menjadi peguam. Ciri personaliti yang tidak sanggup menangguhkan kepuasan menyebabkan timbulnya tabiat-tabiat dan sifat peribadi yang akhirnya mencipta bermacam-macam kegagalan. Tidaklah hairan apabila orang yang tidak sanggup menangguhkan kepuasan akhirnya berada dalam kelas bawahan.