Artikel

Tazkirah Ringkas dan Rangup:Take 5!

oleh Asri Yussof pada 20 Nov 2015

Tazkirah bukanlah sesuatu yang janggal dalam kehidupan kita, setiap masa kita akan mendengar tazkirah atau membaca tazkirah.

Walaupun kedua-duanya dilakukan dengan bentuk yang berbeza iaitu dengar dan baca, itu bukanlah isunya, yang perlu menjadi perhatian adalah, bagaimana peringatan itu mampu kita ambil sebagai iktibar dan pengajaran untuk hari-hari mendatang.

Media sosial seperti Facebook, Twitter, dan Instagram menjadi medium penting zaman ini untuk sama-sama kita saling berkongsi peringatan. Maka, tiada alasan lagi untuk kita berkata tidak kepada tazkirah.

Bagi kita yang sering sibuk dengan urusan kerja, ditambah lagi dengan kerja yang tidak mengikut waktu, sekejap-sekejap ada sahaja kerja yang hendak diuruskan memerlukan kita untuk mencari sesuatu yang cepat, mudah dan terkena ke batang hidung kita sendiri yang barangkali itulah penyebab hadirnya hidayah di hati kita untuk berubah menjadi lebih baik.

Barangkali kita boleh mengheret ibu jari di skrin telefon untuk membaca status dari rakan-rakan yang berkongsi perkara yang baik-baik untuk sentiasa menjadi peringatan, namun sejauh mana notifikasi yang dipaparkan adalah 100 peratus yang baik-baik dan mampu menjadi peringatan kepada kita?

Disinilah cabaran buat kita, adakah kita mampu untuk menolak dari membaca cercaan? Umpatan? Marah-marah? Rungutan? Dan segala macam hal lagi yang sebenarnnya kosong dan tidak mampu mengisi jiwa-jiwa kita.

Mari kita beralih kepada sesuatu yang mudah dan bermanfaat sepenuhnya. Tidak memerlukan masa yang berjam-jam untuk menghadam tazkirah.

Take 5: Tazkirah 5 Minit, bukan 5 Jam yang ditulis oleh Ustaz Dr. Mohd Izhar Ariff bersama Ustaz Mohd Hariri Mohamad Daud, hanya membelek beberapa halaman selesai satu tazkirah.

Jadi bolehlah kita amalkan sekurang-kurangnya sehari satu tazkirah.

Buku ini dilengkapi 45 jenis tazkirah, jika amalan kita istiqamah sudah tentu dalam masa 45 hari kita mampu untuk menghabiskan sebuah buku ini dengan begitu berkualiti sekali!

Sehari satu tazkirah bukan sekadar kita membaca dan tutup buku apabila selesai.

Tetapi amalan ini sebaiknya kita lakukan dengan menghayati bait-bait yang dikarang agar ia melekat di hati bersama ia dikerjakan dengan tazkirah langsung dari Allah iaitu dengan membaca al-Quran, agar ia tidak menjadi sekadar membaca sahaja.

Mungkin saja ada yang beranggapan tazkirah hanya berlaku dalam bentuk pendengaran, iaitu kita ke masjid atau ke surau atau ke majlis ilmu dan membuka telinga.

Sebenarnnya ia juga mampu dilakukan melalui pembacaan, inilah yang dilakukan oleh Ustaz Izhar dan Ustaz Hariri.

Mereka menggunakan medium tulisan untuk menyampaikan pesan. Seperti tuntutan keatas kita, “Sampaikanlah walau sepotong ayat.” – hadis.

‘Membaca’ dengan ia menjadi peringatan kepada kita bukan sesuatu yang ringan ganjaran pahalanya. Ia tidak dikira satu pahala (ganjaran) untuk sepotong ayat tetapi kurniaan tuhan dikira diatas setiap huruf.

“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran,  maka baginya satu kebajikan. Setiap kebajikan itu sepuluh kali gandanya. Aku tidak mengatakan alif, lam, miim itu satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf, dan miim satu huruf.” – hadis direkod oleh Imam At-Tirmidzi.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024