Artikel

Travelog Haji : Perjalanan Menuju Perubahan

oleh Roziyah pada 23 Jun 2010

Kesempatan menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah menjadi pengalaman yang paling berharga kepada Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim sehingga dapat melahirkan buku Travelog Haji.

Kebesaran yang ditunjukkan Allah menyebabkan beliau bersemangat untuk berkongsinya kepada umum.

“Buku ini mengisahkan tentang pengalaman dan catatan saya berkaitan dengan ibadat haji yang telah dilalui. Ia catatan dari seorang manusia yang kurang ilmunya namun diberi hidayah dariNya,” kata Prof. Dr Muhd Kamil.

Beliau yang juga Pengarah Universiti Teknologi MARA (UITM) Johor berkata tidak terfikir langsung akan menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah.

“Saya tidak mahu pergi haji kerana saya rasa jahil. Membaca al-Quran dan doa-doa dalam bahasa arab pun tidak pandai, apalagi mengenal huruf jawi. Saya berasakan diri saya jahil, seorang yang fakir dan amat hina pada pandangan Allah. Tetapi dengan izinNya, Allah menggerakkan hati saya untuk menunaikan haji setelah isteri saya berdoa selama enam tahun,” jelas Prof. Dr. Muhd Kamil.

Beliau berkata, masih ramai di kalangan masyarakat hari ini yang beranggapan sukar untuk menjadi insan yang lebih patuh kepada Pencipta mereka.

Autobiografi hijrah sepanjang 249 muka surat ini menceritakan detik-detik beliau menemui kasih sayang dan mengenali sifat Rahim Allah.

Bagi beliau tanggungjawab untuk menyebarkan ilmu perlu diterapkan dalam diri penulis tanpa memikirkan royalti yang bakal diterima kelak.

“Ilmu yang disebarkan melalui tulisan kita akan kekal buat selama-lamanya walaupun kita sudah tiada,” kata beliau lagi.

Prof. Dr. Muhd Kamil yang mendapat tangga ke lapan untuk kutipan royalti bagi tahun 2009 memberikan sebahagian royalti yang diterimanya kepada Sekolah Rendah Kebangsaan Tengku Mahmud, Besut, Terengganu.

Beliau kini sedang menghasilkan buku motivasi Kehidupan Selepas Kematian yang bakal siap beberapa bulan lagi.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024