Artikel

Warkah 2017 Buat Aktivis Mahasiswa

oleh Huzaifah Abd Jamil pada 28 Dec 2016

Apa khabar Malaysia 2016? Bagaimana prestasi kita tahun ini sebelum meraikan kehadiran tahun 2017? Sudah memasang azam atau belum?

Dalam tidak sedar, Malaysia berbaki tiga tahun sahaja lagi sebelum mencapai Wawasan 2020. Satu prinsip gagasan Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dibentang 26 tahun dahulu.

mahathir

(gambar globalpeaceaward.com)

Sayang sekali, kekacauan politik dalaman dan luaran menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.

Jika kita meneliti senario seperti ini, tidak mustahil Wawasan 2020 bakal musnah di tangan penciptanya sendiri.

Apabila kita berbicara soal politik, segenap lapisan masyarakat tidak mahu terlepas daripada menyuarakan pendapat masing-masing.

Kebelakangan ini (atau sebenarnya sudah lama?), penglibatan golongan muda terutama mahasiswa ‘turun padang’ untuk bersuara menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa.

Ada yang menyatakan sokongan, dan tidak kurang mereka yang mencemuh tindakan ini.

Satu ketika dahulu, suara mahasiswa pernah disekat melalui Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971. Akta ini dicipta tidak lain, hanya bertujuan memastikan mahasiswa memberi fokus kepada pendidikan.

Bagaimanapun, ia disifatkan tidak lagi relevan dengan konteks masa kini.

Golongan aktivis mahasiswa ini wajar dikagumi kerana berani turun ke lapangan masyarakat. Jelas disini, mereka peka dengan isu-isu yang boleh menimbulkan kekacauan dalam masyarakat,

Kemudian meneliti permasalahan yang berkaitan dengan isu berkenaan, dan akhirnya bertindak menyuarakan pendapat mereka.

Sayangnya, kebanyakan laporan media tertumpu kepada penglibatan mahasiswa dalam menyuarakan pendapat berkaitan politik.

Tidak dinafikan, politik adalah isu paling panas dalam kalangan rakyat Malaysia, dan suara mahasiswa adalah suara rakyat paling lantang diutarakan.

Namun jangan lupa, kita perlu bijak mendepani isu yang sering berubah dari semasa ke semasa.

Seorang mahasiswa perlu mengenali kekuatan komuniti dan memikirkan cara terbaik untuk membetulkan keadaan.

mahasiswa

(gambar Malaysiakini)

Tidak semua perkara perlu demonstrasi atau acara himpun, cukup sekadar terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan dan perlahan-lahan cuba membuka minda golongan marhaen secara berhemah.

Membuka lembaran 2017, ayuh sama-sama kita hayati ungkapan Perdana Menteri ketiga, Tun Hussien Onn;

“Tuan-tuan hendaklah sentiasa berwaspada terhadap ancaman-ancaman yang hendak merosakkan ketenteraman dan kedaulatan negara. Di samping itu, tuan-tuan juga hendaklah sentiasa bersiap sedia untuk mempertahankan negara dan memberi perkhidmatan pada masa-masa kecemasan apabila dikehendaki oleh negara kita.”

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024