Buku

Demi DARA

oleh Abdul Rahim Awang

RM 25.00 / RM 28.00Sabah/Sarawak
Beli Versi Cetak

Tiada lagi ulang cetak

Beli Versi Ebook

ISBN: 978-967-369-372-6

Kod Bar: 9789673693726

Muka Surat: 392

Saiz (inci):

Saiz (cm):

Tarikh Terbit: 28 Apr 2017

BISAC:

Imprint: Penerbit-X

Bagi Dara, dunianya telah musnah pada petang itu. Usia remaja, zaman sekolah, dan masa depannya hancur diragut empat lelaki keparat. Hanya pegangan agama yang mempertahankannya daripada mengambil nyawanya sendiri. Luka di tangan akibat duri mawar menyedarkan Dara daripada terus meratap nasibnya. Di matanya terbayang srikandi Melayu, dengan keris berlumuran darah. Dara mengerti, darahnya yang menitis perlu dibela. Dara bangun dan membetulkan hidupnya semula. Untuk membalas dendam, dia perlu merancang. Dan perancangannya amat teliti dan memakan masa yang lama. Sehinggalah sampai masa untuk melaksanakannya, dan empat lelaki binatang itu tumpas kepada strategi dan bilah mata kerambitnya. Namun, ia tidak berakhir di situ apabila abangnya, Mazlan di tangkap atas tuduhan membunuh. Perjuangan Dara di mahkamah baru bermula! Segala-galanya demi dara dan untuk Dara...

Aku memang peminat setia Dato’ Ali, bukan sahaja kerana pernah berguru dengannya, tetapi kerana kebelakangan ini ramai bekas pelajar persilatannya berjaya dalam acara sukan silat hingga ke peringkat antarabangsa. Namun, tujuan aku datang menemuinya di Kampung Changkat Daeng hari itu bukanlah kerana kehebatan ilmu persilatannya, tetapi didorong oleh berita sensasi dalam akhbar dan di kaca televisyen tidak lama dulu, dan kejadian yang berlaku sembilan bulan selepas itu. Seperti kebanyakan orang lain juga, aku yakin kejadian yang berlaku dua minggu lalu itu merupakan kesan dan akibat daripada peristiwa sembilan bulan sebelum itu. Sebagai bekas pelajar, aku berasa bertanggungjawab untuk menghadirkan diri di hadapan Dato’ Ali kerana aku tahu kedua-dua peristiwa itu membawa kesan yang mendalam kepadanya. 

Zaman aku belajar bersilat dengan Dato’ Ali dahulu, latihan dijalankan dalam gelanggang terbuka di kawasan lapang berhampiran rumahnya. Sekarang latihan dijalankan dalam sebuah dewan yang didirikan di tapak sama. Dulu kami belajar bersilat sebagai ilmu pertahanan diri, sekarang ilmu persilatan turut dipelajari sebagai aktiviti sukan. Tetapi, ketika aku tiba malam tadi dewan gelap dan lengang. 

Aku ke rumahnya. Gelap juga, mungkin semua orang sudah tidur. Aku kembali semula ke pekan dan bermalam di Jawi Inn.

Malam itu, walaupun keletihan selepas memandu sendirian dari Kuala Lumpur, aku tidak dapat melelapkan mata. Ketika terkebil-kebil di atas katil, aku mengimbau kembali peristiwa-peristiwa yang membawa aku ke daerah Nibong Tebal dan Kampung Changkat Daeng. Nama-nama tempat – Kampung Tengah, Atas Permatang, Baruh, Bagan Buaya dan Kampung Kecil – tertulis dalam surat khabar dan disebut dalam berita televisyen berulang kali.

Aku mula mengingati dan melakarkan peta lokasi tempat-tempat itu dalam mindaku. Kampung Tengah, Atas Permatang, dan Baruh adalah tiga buah kampung yang dirangkumkan menjadi Changkat Daeng. Kampung Tengah, sesuai dengan namanya, terletak di tengah-tengah. Baruh, juga sesuai dengan namanya yang bermaksud bawah atau berhampiran pantai, terletak di sebelah barat bersempadan kuala sungai, sementara Atas Permatang adalah kawasan lebih tinggi dan berpasir di sebelah timur. Bagan Buaya adalah sebuah kampung lain yang bersempadan di sebelah utara. Kampung Kecil pula bersempadan di sebelah selatan. Di sana terdapat simpang tiga berbentuk Y senget, ke kiri menuju ke pekan Nibong Tebal, yang kanan ke Byram Estate dan Kebun Baru di pinggir kuala Sungai Krian. Aku terlelap dengan peta lokasi itu terpahat dalam minda. 

Pagi berikutnya, apabila aku ke rumahnya, Dato’ Ali tiada di rumah juga. Aku diberitahu dia ke tanah perkuburan di Kampung Atas Permatang.

Walaupun tanah perkuburan Islam itu luas, Dato’ Ali dapat kutemui dengan mudah kerana suaranya membaca surah Yasin dapat kudengar sebaik saja aku melewati pintu pagar hadapan. Aku berhenti melangkah sebaik sahaja nampak Dato’ Ali duduk di atas tikar mengkuang di sisi sebuah sebuah pusara baru yang belum bernisan.

Aku bercadang merapatinya selepas dia selesai membaca, tetapi dia mendahului aku. Sebaik selesai melafazkan ayat terakhir, dia mendongak dan berkata, “Atuk ingat engkau dah lupakan kami. Rasanya sudah lebih dua puluh tahun engkau tidak menjengah kami di sini.”

Aku dilanda rasa bersalah. Fikiranku ligat mencari alasan yang boleh kuberikan kepadanya. Tetapi, belum pun sempat aku berkata apa-apa, dia mengangkat tangan dan menggamit aku supaya duduk di sisinya.

Aku terima pelawaannya yang aku anggap sebagai arahan. Sememangnya ketika aku berguru dengannya dahulu, setiap suruhannya, aku dan semua murid lain menerima sebagai arahan. Walaupun sudah berpuluh tahun aku tidak menemuinya, kebiasaan itu masih sebati dengan diriku. Dan, seperti dulu juga, dia membahasakan dirinya ‘atuk’, bukan ‘dato’’ walaupun telah menerima anugerah dan gelaran. 

Selepas menghulurkan tangan untuk bersalaman, aku terus duduk.

“Engkau nampak sihat,” kata Dato’ Ali sambil tersenyum.

“Alhamdulillah,” aku menjawab.

“Engkau datang jumpa atuk kerana ini, kan?” katanya sambil menoleh ke arah pusara baru di sisinya, seolah-olah dapat membaca fikiran aku.

Aku cuma mengangguk, tidak pasti bagaimana mahu kusampaikan tujuanku kepadanya ketika itu.

Wajahnya bertukar sayu. “Yang pergi, sudah tentu pergi. Walau betapa pun kita meratapi pemergiannya, dia tetap tidak akan kembali ke pangkuan kita lagi.”

Dia terhenti, merenung jauh.

Aku tidak tahu apa yang boleh kukatakan, lalu terus mendiamkan diri dan menunggu sahaja.

Dia mengesat air jernih yang mula membasahi pipinya, kemudian menyambung. “Tapi, ada kalanya, kita tidak mampu mengawal kesedihan kerana orang yang pergi itu amat kita sayangi, dan kita merasakan belum masanya untuk dia pergi.”

Terhenti lagi. Aku terus diam.

Dia memandang aku dan menyambung, “Insan yang sangat aku sayangi pergi pada usia yang masih muda. Puncanya, sesuatu yang berlaku kira-kira enam tahun dahulu....”

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024