Buku

TRAVELOG SYAHADAH

oleh Muhammad Rashidi Abdullah

RM 14.00 / RM 16.00Sabah/Sarawak
Beli Versi Cetak
Bookcafe Shopee Lazada

ISBN: 978-967-366-013-1

Muka Surat: 168

Saiz:

Tarikh Terbit: 9 Jun 2010

Lahir dalam keluarga yang beragama Kristian tanpa pegangan yang kukuh mahu pun suatu petunjuk atau panduan untuk menempuhi asam garam kehidupan benar-benar mengajar aku erti kesabaran, mujahadah dan menghayati prinsip-prinsip agama setelah memeluk Islam. Selama 22 tahun saya hidup dalam kegelapan jahiliah. Terlalu banyak onak duri yang pernah saya lalui dan  tempuhi. Allahu Akbar… betapa hebatnya dan sempurnanya syariat Islam sehingga mampu mengubah seluruh kehidupan saya.

Berjalan di atas muka bumi Allah demi menyambung tugas para Nabi dan para Rasul. Ia bukannya suatu pilihan. Tetapi tugas ini merupakan kewajiban bagi setiap individu Muslim. Cuma, di sana terdapat perbezaan dari sudut uslub dakwah mengikut kemampuan, situasi dan tempat. Apa pun, tugas ini perlu dititikberatkan bagi tiap-tiap individu walau apa pun profession dan bidang yang diceburi. Ia merupakan sumbangan kita kepada Islam yang kita anuti dan yakini.   

Golongan seperti kami terpaksa berhadapan dengan pelbagai halangan dan dugaan di awal keIslaman. Disisihkan keluarga, saudara mara, kawan-kawan bahkan orang tersayang, merupakan saat yang amat sukar bagi kami. Mengubah landskap kehidupan jahiliah kepada taat dalam ajaran Islam amat memerlukan kesabaran dan mujahadah yang tinggi. Ketika itulah kami amat memerlukan bimbingan, sokongan dan bantuan dari pihak berwajib mahupun individu yang prihatin. Mudah-mudahan coretan kisah suka duka perjalanan hidup yang saya rakamkan di dalam Travelog Syahadah ini memberi kesedaran dan keinsafan kepada pembaca, terutamnya kepada kalangan Melayu Islam yang berada di dalam dilema, 

  1. Dilema antara bangsa Melayu dan agama Islam
  2. Dilema antara adat dan adab.
  3. Dilema antara syariat Islam dengan jahiliah.
  4. Dilema antara rahmat dan laknat. 

Mudah-mudahan buku ini memberi kesedaran kepada pembaca khususnya remaja yang masih tercari-cari apa itu erti sebuah kehidupan. Menyingkap rahsia bagaimana Islam mampu mengubah kehidupan seorang remaja yang pernah melalui zaman-zaman jahiliah. Kisah suka duka di perantauan, saat-saat berjinak-jinak dengan Islam dan detik-detik sukar ketika terpaksa meninggalkan kehidupan yang serba-serbi dalam kemewahan dan glamour. Semata-mata kerana ingin memeluk dan mendalami Islam setelah beberapa kali Allah memberikan petunjuk.

“Membaca kisah suka duka, pahit maung insan bernama Rashidi Abdullah ini,  seorang yang sejak remajanya lagi belajar di ‘universiti’ kehidupan, pernah menjadi buruh, ditahan sebagai banduan dan akhirnya tekun belajar hingga layak dipanggil ustaz ini, sesungguhnya mengimbau kembali perjalanan hidup para sahabat Rasulullah SAW dalam mencari iman.”USTAZ PAHROL MOHAMAD JOUI (Penulis/ Pakar Motivasi/ Editor Majalah) 

“Travelog Syahadah – secara tersirat – merupakan satu catatan yang telah dilalui oleh seorang insan yang “secara kasih-sayang”nya telah dilontarkan taufik dan hidayah. Ia anugerah yang sangat bernilai. Sudah pasti mereka yang telah dilapangkan dadanya untuk menerima Islam bukan kerana zuriat mempunyai perilaku yang sangat berbeza. Malah perasaan dalaman nyata lebih kuat dan berpengaruh terhadap rasa cinta kepada Allah yang maha agong. Keimanan yang diperolehi melalui langkah-langkah berliku nyata sangat bernilai. Ia satu anugerah istimewa.”PROF. MUHD KAMIL IBRAHIM (Penulis Travelog Haji dan Travelog Dakwah) 

“Buku ini bukan sekadar catatan seorang lelaki, tetapi ia adalah silibus penting kepada pendakwah Islam untuk mendekati orang bukan Islam. Kebanyakan pendakwah yang dilahirkan sebagai Muslim, tidak dapat mengenal pasti keperluan dan kehendak orang bukan Islam yang berminat dengan Islam. Tidak hairanlah terdapat sebahagian kelas pengajian untuk mualaf menggunakan silibus KAFA. Sudah tentu silibus yang disusun untuk kanak-kanak tidak sesuai digunakan untuk orang dewasa. Namun itu adalah mentaliti pendakwah ini yang beranggapan mualaf seperti kanak-kanak.”ROHIDZIR RAIS (Penulis / Editor)

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024