Artikel

Haji Ada Ceritanya Sendiri: Ceritera Haji Wartawan Al-Quran

oleh Nik Aziz Afiq pada 01 May 2016

Menunaikan haji bagi yang berkemampuan adalah rukun Islam kelima yang wajib untuk ditunaikan apabila memenuhi syarat-syaratnya.

Namun, ramai yang tidak sedar, berkemampuan dan cukup syarat semata-mata tidak membolehkan seseorang itu dapat menunaikan haji.

Faktor terbesar dan utama adalah ‘jemputan’ daripada Allah s.w.t. mengatasi segala-galanya.

Andai penuh kemampuan, harta melimpah ruah sekalipun, namun apabila ia bukan dalam ketetapan Allah untuk dijemput sebagai tetamu,

maka dia tidak akan dapat pergi. Begitu juga sebaliknya apabila kita melihat ramai juga yang secara fizikal melalui kedudukan kewangan tidak mampu menunaikan ibadah agung ini,

tiba-tiba mereka yang berjaya pergi ke sana berbanding dengan mereka yang lebih mampu.

Kerja siapa semua ini yang membolehkan dan tidak membolehkan, yang menjemput dan tidak menjemput?

Pastinya kita akan berbalik dengan rasa rendah diri menginsafi ini sepenuhnya atas budi bicara Allah s.w.t.

 

Cerita orang pergi haji ini sebenarnya banyak dan meluas dalam kalangan masyarakat kita. Baik mulut ke mulut, malah beberapa majalah sensasi.

Belum campur dengan media Internet. Banyak! Maka apa yang buat buku ini berbeza?

Bagi saya buku ini jauh berbeza kerana ia pengalaman yang dirakam oleh ‘wartawan Al-Quran’.

Tidak ada satu pun pengalaman sama ada besar mahupun kecil yang direkodkan dalam buku ini melainkan penulis dengan anugerah Al-Hafiz yang dikurniakan Allah berjaya mengaitkan dengan ayat-ayat Al-Quran.

Kita sering dijamu dengan cerita mistik yang berlaku di sana. Namun, cerita yang disampaikan membuatkan kita lebih takjub dan asyik dengan ceritanya,

bukan kepada yang menjadikan cerita itu berlaku (Allah). Kehebatan buku ini adalah apabila ayat Al-Quran itu hidup dalam setiap derap kaki,

penglihatan, dan pendengaran penulis sehingga semuanya ditimbang melalui neraca Al-Quran.

Barulah Al-Quran itu hidup dan dibuktikan sebagai mukjizat akhir zaman yang relevan tanpa mengira masa dan tempat.

 

Satu lagi kehebatan buku ini apabila penulis secara jelas menggambarkan peristiwa getir sebelum, semasa, dan selepas menunaikan haji.

Sebak apabila mengenangkan ujian demi ujian yang datang kepada penulis dan pasangan.

Beberapa kali tidak ‘dijemput’ Allah sekalipun sudah membuat segala persediaan yang perlu.

Lalu, Dia menggantikan kesukaran itu dengan dikurniakan melaksanakan ibadah ini di bawah bimbingan seorang ulama’ tersohor.

Begitu banyak input melalui kalam ulama’ tersebut yang terkenal dengan gelaran Abu Anas Madani ini.

Kalam itu dimuatkan dalam buku sederhana tebal dan bersifat santai.

Ia menjadikan pembaca bagai ‘disihir’ apabila terasa seakan-akan ada bersama dua insan hebat ini ketika perjalanan penuh mencabar itu.

Juga menyentuh hati apabila penulis mendapat berita pemergian ibu mertua di kampung.

Sebuah ujian besar dan bagaimana nyawa keluarga penulis terancam apabila hampir terlibat dalam kemalangan selepas pulang ke tanah air.

Peristiwa ini berlaku ketika mereka pulang ke kampung bagi menziarahi kubur ibu mertuanya.

 

Buku ini, bagi saya tidak mempunyai kelemahan ketara. Sekadar mencadangkan buku ini lebih enak dihidang dalam format seakan-akan diari.

Menceritakan sesuatu berdasarkan hari demi hari lebih memberi kesan kepada pembaca dan memudahkan bagi menangkap latar tempat yang memainkan peranan.

Namun seperti diberitahu, ia bukanlah kelemahan ketara. Ini kerana, penulis sendiri bukan bercadang untuk pergi menunaikan haji kemudian menghasilkan buku.

Penghasilan ini berlaku selepas dicadang ketika berada di sana. Malah, pasti agak terganggu untuk merekod setiap hari

sedangkan dalam beberapa waktu kritikal yang perlu mengejar masa dan memenuhkan konsentrasi dalam menghadap Allah. Perkara sebegini bukan lagi prioriti.

Namun, saya mendoakan supaya Allah menjemput lagi penulis ini ke rumah-Nya bagi membuat liputan yang lebih baik, sekali gus menjadi teladan buat umat.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024