Artikel

Keagungan Rasulullah SAW yang Terpuji: As- Syamail Al-Muhammadiyah

oleh Mohamad Asri Mohamad Yussof pada 12 Oct 2015

Kenabian Muhammad SAW dikuatkan dengan sejumlah ayat dan mukjizat yang dikurniakan dari Allah SWT. Mukjizat terbesar beliau ialah  Al-Quran. Semua ayat dan mukjizat tersebut menjadi bukti kebenaran Rasulullah SAW. Para sahabat Rasulullah SAW telah menyaksikan mukjizat-mukjizat yang kemudian disampaikan kepada kita sehingga faham kita akannya melalui penelitian terhadap hadis. Tidak cukup kita disebut sebagai seorang umat yang benar-benar mengenali Rasulullah SAW dengan sekadar membaca mengenai Rasulullah SAW melalui sebuah buku atau selembar hadis.

Membaca mengenai Rasulullah SAW bukan sekadar memahami sejarah kelahiran dan perjalanan kehidupannya sahaja malah perlu juga untuk kita melazimi apa yang diucapkannya dan perbuatannya agar kita boleh mengaplikasi untuk kehidupan hari ini.

As-Syamail Al-Muhammadiyah: Keagunganmu Ya Rasulullah menjadi salah satu bahan bacaan wajib untuk kita kenal dan memahami sifat keperibadian Rasulullah SAW semasa hayatnya melalui hadis-hadis yang dikumpulkan di dalam buku ini. Harus untuk kita maklum, buku ini adalah edisi kemas kini, cetakan terkini ini telah ditahkik sebanyak dua kali oleh penterjemah dan ditambah nota-nota kaki bagi memberi penjelasan berkenaan istilahistilah ataupun makna perkataan yang kurang jelas. Malah terdapat beberapa perkataan yang digariskan dengan warna biru dengan disusuli perkataan yang bertanda kurungan. Hal tersebut bagi menunjukkan perbezaan dengan cetakan edisi sebelum ini. Pentahkik melampirkan kedua-duanya bagi mengelakkan timbul kekeliruan apabila dibandingkan dengan cetakancetakan dalam edisi sebelum ini.

Hadis-hadis yang dikumpulkan di dalam buku ini tidak semuanya hadis yang sahih. Selepas setiap hadis ditulis dan diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, ada pula nota kaki bagi sesetengah hadis yang mungkin tidak boleh hanya difahami didalam terjemahan, kemudian ada pula keterangan berkenaan taraf hadis tersebut, sahih, hasan atau daif dan ditulis juga sanad dan matannya. Namun terdapat sanad dan matannya yang tidak dinyatakan kerana wujud hadis yang sama sebelumnya. Jangan khuatir, ada disertakan nota kaki yang memberitahu pada halaman berapakah hadis yang sama itu berulang.

Meletakkan Rasulullah saw sebagai ikutan sepanjang kehidupan kita adalah sebaikbaik ikutan, namun ada sebahagian yang mendakwa mereka adalah yang paling benar sehingga perbuatan mereka mengorbankan manusia dan sikap kemanusiaan yang secara fitrahnya wujud di dalam diri mereka oleh sebab tersilap tafsir dengan apa yang diajarkan oleh Rasulullah saw. Hal ini diselar oleh Karen Armstrong di dalam makalahnya,

Menunaikan hak Rasulullah adalah menjadi tanggungjawab setiap individu muslim. Menjadi tanggungjawab kita untuk percaya akan perkataan, perbuatan dan segala yang dibawa oleh Rasulullah saw dan meletakkan kedudukan Rasulullah di tempat yang sewajarnya. Ini bertepatan dengan firman Allah di dalam surah An-Nisa’ ayat 80 yang bermaksud,

“Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah; dan sesiapa yang berpaling ingkar, maka (janganlah engkau berdukacita wahai Muhammad), kerana Kami tidak mengutuskanmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka dari melakukan kesalahan).”

Buku yang menarik ini dengan warna-warna yang pelbagai dan terang pada setiap halaman sesuai menjadi bahan bacaan awam. Kepada setiap mereka yang boleh membaca, dengan izin Allah mereka boleh memahaminya. 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024