Artikel

Selepas Bertahun Idea Diperam, Akhirnya Silat Boy Diterjemah Menjadi Komik

oleh Nor Fatin Amira Salleh pada 24 Nov 2017

Pemenang silver award dalam International Manga Award anjuran Japan Foundation, Ben Wong terus menghadiahkan karya terbaru buat peminatnya. Silat Boy yang bertahun lamanya diperam, akhirnya berjaya diterbitkan oleh komik-M.

Kredibiliti beliau sebagai pekomik yang hebat tidak perlu dipertikaikan lagi. Selepas menghasilkan banyak komik yang bestseller dan bersiri seperti SS10 dan Atan, kali ini beliau tampil dengan komik yang berkisarkan seni mempertahankan diri.

Karya ini adalah mengenai Boy yang sering dibuli oleh gengster kerana kelemahannya dalam mempertahankan diri. Kemunculan budak perempuan bernama Alyaa yang pandai dalam ilmu persilatan telah menyelamatkannya. Daripada situ jugalah konflik semakin memuncak dengan pembalasan dendam oleh kumpulan gengster tersebut.

Cara susunan plot cerita yang ditulis oleh Ben Wong,  tersusun dan tidak rumit. Ini menyenangkan pembaca untuk memahami setiap peristiwa dan keseluruhan cerita dalam komik ini. Golongan pembaca terutamanya kanak-kanak dan remaja akan menghayati cerita ini dengan lebih mudah.

Tambahan lagi, komik yang menjadikan isu buli sebagai topik utama ini adalah bersesuaian dengan situasi persekolahan masa kini. Ia bagaikan kisah sebenar yang menyaksikan isu buli ini sebagai satu kes yang besar untuk ditangani pihak bertanggungjawab. Komik ini mungkin boleh memberi sedikit dorongan kepada mangsa buli untuk keluar daripada masalah tersebut.

Buli

Sebagaimana yang ditonjolkan penulis, seni membela diri itu adalah penting untuk mempertahankan diri sendiri daripada kes-kes seperti buli. Ilmu persilatan yang juga warisan orang-orang dahulu, patut dipelajari untuk menjadi benteng.  

Tidak rugi untuk mendapatkan komik ini, kerana ia bukan sekadar bahan picisan yang menjadi penghibur, namun banyak nilai yang turut terselit. Bukan hanya untuk kanak-kanak dan remaja, malah golongan dewasa juga adalah sesuai mendapatkan komik ini.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024