Penulis

Abdul Rahim Muda (Imuda)

Imuda ataupun nama sebenarnya Abdul Rahim bin Muda dilahirkan pada 13 Disember 1959 di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Beliau adalah anak ke-6 daripada lapan orang adik-beradik hasil perkongsian hidup pasangan Muda bin Nordin dan Halijah binti Chik. Nama Imuda adalah cantuman nama panggilannya Im (asal daripada Rahim) dan nama ayahnya Muda. Usia kanak-kanak dan remajanya banyak dihabiskan di Bukit Mertajam dan Seberang Perai. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Khir Johari. Kecenderungan Imuda pada bidang lukisan bermula sejak zaman kanak-kanak lagi. Komik pertama lukisan beliau adalah “Hang Sebat”, setebal 20 halaman dan dibayar dengan harga RM50.00 pada waktu itu. Antara sumber inspirasi Imuda pada masa itu adalah poster-poster wayang lukisan tangan. Kegemaran menonton wayang menjadikan Imuda selalu memerhatikan poster yang bergantungan di pawagam. Lantas timbul cita-cita menjadi pelukis poster filem. Selepas lulus Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mertajam pada 1978, Imuda memasuki alam pekerjaan. Kerja yang pertamanya adalah di sebuah syarikat penerbitan buku iaitu United Book Company. Selain itu, Imuda juga dipertanggungjawabkan menjadi ilustrator majalah Dunia Kanak-Kanak. Kemudian beliau berpindah kerja dan menjawat jawatan Penolong Penulis di Dewan Bahasa dan Pustaka. Imuda memulakan langkah seninya menerusi drama pentas Syy! hasil ilham Dr. Hatta Azad Khan. Ia adalah titik tolak kepada penglibatan Imuda dalam bidang seni sampai ke hari ini. Kemudian, drama Syy! diterbitkan dalam bentuk sitkom di TV3 dengan tajuk Kg. Seri Wangi. Tajuk sitkom ini kemudiannya ditukar lagi kepada Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang menjadi popular sampai ke hari ini. Kini beliau masih bergiat aktif sebagai pelukis sepenuh masa, pelakon, pengacara rancangan televisyen dan penyanyi. Rancangan televisyen yang dilakonkan sekarang adalah Salam Pantai Timur. Manakala pameran lukisan terbaru Imuda bertemakan potret selebriti berjudul “Wajah Kesayangan Hamba”.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024