Penulis

Ahmad Fauzan Othman

Beliau dilahirkan pada 4 Oktober 1978 di Muar, Johor Darul Takzim. Anak bongsu dari dua beradik ini memiliki perwatakan yang ceria dan disenangi. Sejak kecil beliau mempunyai daya imaginasi yang tinggi selain sifat ingin tahu dan gemar mengkaji sesuatu. Pada tahun 1982, keluarga beliau berhijrah ke Pulau Pinang selepas ayahnya Othman Bin Haji Saaid ditawarkan menjadi pensyarah di Fakulti Pendidikan Universiti Sains Malaysia. Dalam usia enam tahun, beliau mengikuti keluarganya ke Madison, Wisconsin, Amerika Syarikat di mana beliau mendapat pendidikan prasekolah di Shorewood Hills Elementary School, Madison, Wisconsin. Selepas pulang ke tanah air, beliau memulakan persekolahan di Sekolah Kebangsaan Sungai Nibong, Pulau Pinang dan mula menunjukkan ciri-ciri kepimpinan apabila dilantik menjadi Penolong Ketua Darjah (1986, 1987), Ketua Darjah (1988, 1989) dan Pengawas Sekolah (1990). Beliau turut menjadi Pelajar Terbaik UPSR sekolah itu. Pada Oktober 1990, beliau sekali lagi mengikuti keluarga ke luar negara. Kali ini ke Hull, England di mana beliau mendapat pendidikan awal menengah rendah di Kelvin Hall High School. Beliau kembali ke tanah air dan sempat bersekolah seketika di Sekolah Tinggi Batu Pahat, Batu Pahat, Johor Darul Takzim sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur. Semasa usia remaja, beliau bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran peringkat PMR dan SPM, malah dapat meluangkan masa mengembangkan minatnya dalam bidang seni termasuk muzik, seni lukis dan puisi. Beliau turut aktif dalam pelbagai aktiviti sekolah seperti menjadi pengarah drama bagi Pertandingan Drama Minggu Bahasa Inggeris dan kegiatan kokurikulum dengan menjadi AJK Kelab Seni (1992-1994), Pengerusi Kelab Seni, Pengerusi Kelab Reka Cipta dan Pengerusi Kelab Permainan Dalaman (1995). Bukan itu sahaja, beliau turut mengambil bahagian dalam beberapa kegiatan luar sekolah seperti Jogathon Masyarakat Penyayang, Kem Kanak-kanak MAS, Pertandingan Kuiz Fizik Kebangsaan 1995 dan lain-lain lagi. Beliau turut menjadi penceramah motivasi bagi Projek Cemerlang SPM 1996 Sekolah Menengah Lembah Keramat. Beliau seterusnya menyertai Program Pusat Persediaan Kajian Teknikal ke Jepun pada Mac 1996 sebelum ke negara matahari terbit itu pada April 1998. Beliau melanjutkan pelajaran peringkat Diploma jurusan Kejuruteraan Komputer di Hakodate National College of Technology, Hokkaido, Jepun. Sebagai pelajar tunggal Malaysia di dalam jurusan itu, beliau banyak bergaul dengan pelajar dan masyarakat tempatan. Pendedahan ini membantu beliau menjadi lebih terbuka serta mempunyai pemahaman perbezaan budaya Timur dan Barat. Pengalaman belajar di Jepun selama tiga tahun dan kemudiannya dihantar oleh syarikat untuk latihan kerja, mengasah kemahiran pemerhatian yang kritikal dan teliti beliau. Sejarah hitam apabila kehilangan ayahanda tercinta akibat penyakit leukemia pada tahun 1999 tidak mematahkan semangat beliau. Beliau terus menyalurkan tenaga menyertai pelbagai aktiviti komuniti dan sukarela masyarakat setempat Hakodate seperti membantu dalam Pementasan Tahunan Taman Goryokaku, Program Integrasi Masyarakat, Program bersama pelajar Indonesia, aktiviti sukarela pelajar sekolah bahasa Russia, Kelab Riadah Komuniti dan sebagainya. Beliau turut menjadi antara pengasas pasukan Futsal pelajar jurusan Komputer. Beliau memperoleh diplomanya dan juga sijil penghargaan kedatangan penuh sebelum pulang ke tanah air pada penghujung Mac 2001. Sekembalinya ke tanah air, beliau memulakan khidmat sebagai Pembantu Jurutera bersama Sharp Electronics (M) Sdn. Bhd. Beliau bertugas di Jabatan Televisyen bahagian Keselamatan Pengguna. Sikap analitik beliau banyak membantu dalam menjalankan tugas seharian termasuk menilai tahap keselamatan dan radiasi produk serta mengkoordinasi permohonan kelulusan keselamatan produk dan kerja-kerja troubleshooting. Beliau turut terlibat dalam hal-hal menetapkan jadual progres kerja dan kawalan kos. Genap setahun berkhidmat, beliau dihantar ke Jepun bagi latihan kerja di Sharp AV System Group, Tochigi di mana beliau didedahkan pula dengan dengan pendekatan Sistem Pengurusan Jepun, konsep 5S, pendekatan Total Quality Management (TQM) dan konsep Just in time (JIT). Di Sharp juga beliau aktif sebagai AJK beberapa acara seperti Hari Riadah Jabatan, Makan Malam Tahunan dan sebagainya. Pada April 2004, beliau dilantik sebagai Jurutera dan menerima anugerah Program Intensif R&D sebanyak dua kali. Pada tahun yang sama juga, beliau mendirikan rumah tangga. Seterusnya pada 2005, beliau mula menambah minat dan aktif dalam kegiatan pengurusan QC selepas mengambil bahagian dalam kursus 7 QC tools anjuran Perbadanan Produktiviti Negara. Bermula sebagai Penolong Ketua Pasukan QC dan membantu pasukan meraih tempat ketiga semasa Konvensyen QC Sharp, beliau seterusnya dilantik menjadi wakil jabatan bagi jawatankuasa QC syarikat. Di samping itu, beliau turut meluangkan masa mempelajari selok-belok pengurusan wang dengan mengambil peperiksaan Federation of Malaysian Unit Trust Managers. Beliau juga membantu rakannya mengasaskan syarikat perkongsian Teruja Enterprise. Walaupun sudah meninggalkan bangku sekolah sekian lama, beliau tetap mengenang jasa sekolahnya dengan kembali bagi projek motivasi pelajar tingkatan 4 pada tahun 2005. Tahun 2006 membawa khabar berita apabila beliau dianugerahkan cahaya mata yang pertama. Beliau juga mula berkhidmat sebagai guru sambilan bahasa Jepun di Standard Language Center pada pertengahan tahun yang sama.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024