Penulis

35779215_10156394143344501_5290816791415619584_n

DEEN

DEEN ataupun nama sebenarnya Nordin Misnan dilahirkan di Segamat, Johor pada Mac 1968. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kampung Jawa, Segamat dan Sekolah Menengah Datuk Bentara Dalam, Segamat.

Dikurniakan bakat serta minat melukis sejak kecil, bidang seni lukisan sudah menjadi sebati dengan diri beliau. Umpama makan nasi tanpa ulam, tidak lengkap hidup dalam sehari jika tidak melukis. Sejak di bangku sekolah lagi, beliau sering menghantar karya ke pelbagai majalah. Percubaannya mengena apabila majalah Variapop menerima dan menyiarkan karyanya pada tahun 1984.

Bermula dari situ, Deen tidak menoleh ke belakang lagi dan terus melebarkan langkah dalam dunia kartun tanah air dengan menjadi kartunis di beberapa majalah terkemuka seperti Gelihati, Jenakarama, Boom, Batu Api, Gelagat, dan banyak lagi.

Di samping itu, sentuhan istimewa karyanya yang menghiasi kad ucapan raya boleh dikatakan menjadi fenomena setiap kali bulan Ramadan dan Syawal menjelma saban tahun. Kemeriahan bulan puasa dan hari raya ketika era 80-an serta 90-an dahulu semakin bertambah dengan adanya amalan saling mengutuskan kad ucapan. Namun, kini semua itu menjadi nostalgia dalam arus perubahan zaman dan teknologi.

Selepas kegawatan ekonomi sekitar tahun 1998 yang memberi kesan kepada arena kartun tanah air, Deen mengubah haluan dengan menyertai Berita Publishing. Di sini, beliau menghasilkan ilustrasi untuk majalah-majalah terbitan syarikat dan melukis kartun untuk majalah ‘Komik Kanak-Kanak Aktif’, BIP!

Beberapa tahun kemudian, Deen mengorak langkah berhijrah ke Berita Harian dengan karier baru sebagai wartawan grafik. Selepas 26 tahun bergulat dengan info dan grafik dalam dunia akhbar, beliau mengambil keputusan untuk bersara dan memilih menjadi kartunis sepenuh masa. Karya-karya terkini beliau boleh dibaca dalam ruangan Ragam di Berita Harian setiap hari Ahad.

Ketika para kartunis sezaman beliau sudah ramai menggantung berus dan pen, Deen pula semakin aktif berkarya. Selain kartun mingguan di Berita Harian, Deen turut menyumbangkan karya untuk beberapa penerbitan majalah kartun indie dan menyertai beberapa pameran kartun di pelbagai peringkat.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024