Penulis

Mohd Taib Dora

Prof. Dr. Mohd Taib Dora adalah Dekan di Pusat Pengajian Siswazah, Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia (KUTKM).

Dilahirkan di Kg. Tanjung Bidara, Masjid Tanah, Melaka pada tahun 1961. Pendidikan awal di Sek. Keb. Tanjung Bidara, Melaka sebelum melanjutkan pelajaran ke Sek. Men. Sains Melaka dan juga Sek. Alam Shah, Kuala Lumpur. Seterusnya melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Antropologi dan Sosiologi pada tahun 1984. Kemudian pada tahun 1991 memperoleh Ijazah Sarjana Sosiologi dan Ph.D dalam bidang Sosiologi Bandar pada tahun 1996.

Mulai menyertai Universiti Teknologi Malaysia sebagai Penolong Pensyarah pada tahun 1985 dan Pensyarah pada tahun 1992 serta Professor Madya pada tahun 1999. Pada 1 September 2004, dilantik sebagai Professor di Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia (KUTKM), Melaka. Berpeluang menjadi “Research Fellow” di Universiti Kyoto, Jepun pada tahun 1999. Memegang jawatan Dekan Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia, UTM mulai tahun 2001 hingga 2004.

Pakar dalam bidang kemiskinan bandar, penilaian impak sosial dan pembangunan keusahawanan melaui penyelidikan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Aktif menulis melalui penghasilan pelbagai buku, journal, pembentangan kertas kerja, dan penyelidikan.

Karya beliau Peminggiran Sosial Keluarga Melayu Termiskin Bandar memenangi Anugerah Buku Karya Asli Terbaik sempena Hari Penerbitan UTM pada tahun 2001. Menulis artikel betajuk Psikologi Pengguna: Gaya dan Citarasa, terbitan majalah Dewan Budaya, DBP. Memperoleh Hadiah Anugerah Penulis Artikel Pengguna 1998 anjuran Persatuan Pengguna Malaysia.

Dianugerah Hadiah Friendship Programme for 21st Century semasa lawatan sambil belajar ke Jepun anjuran JICA pada tahun 1991, Hadiah Biasiswa Ryoichi Sasakawa Foundation dari Kerajaan Jepun untuk melanjutkan pelajaran peringkat Ph.D, dan Hadiah Fellowship JSPS sebagai Visiting Researcher di Kyoto Universiti, Jepun pada tahun 1999.

Beliau aktif dalam perundingan jabatan melalui khidmat konsulten sosiologi kepada organisasi dan jabatan-jabatan kerajaan dan swsta. Manakala peringkat khidmat komuniti pula, beliau aktif menyertai khidmat komuniti dan memegang pelbagai jawatan di peringkat komuniti termasuk menjadi Yang Dipertua PIBG Sek. Keb. Bandar Uda (2) Johor Baru, mulai 1998 hingga kini.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024