Penulis

Muhd Nur Iman Ramli

MUHD. NUR IMAN BIN RAMLI dilahirkan pada 12 September 1980 di Kota Bharu, Kelantan. Anak sulung daripada empat orang adik-beradik ini menerima pendidikan awal di SK Kok Lanas, (Kota Bharu), dan kemudiannya di SMUA Maahad Muhammadi Lilbanin (Pengkalan Chepa). Beliau berkelulusan ijazah Sejarah dan Tamadun dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Pernah bertugas sebagai guru Sejarah/Sains Politik di Jabatan IRKHS, Pusat Matrikulasi UIAM (Petaling Jaya) dari 2005 sehingga 2007.Penulis kemudiannya menyertai dua buah syarikat konsultan secara freelance dan bertugas sebagai penyelidik dan tutor bahasa Inggeris di beberapa buah Pusat Latihan Polis (PULAPOL). Pada penghujung 2007, beliau dilantik sebagai Pegawai Khas Media, kepada YB Senator Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim, Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri ketika itu. Pada pertengahan tahun 2008, beliau kembali ke Kelantan untuk bertugas sebagai guru (GSTT) di SK Gong Dermin (Pasir Tumboh), dan selepas itu di SMK Dato’ Ahmad Maher (Kota Bharu) pada 2009.Pada 2012, penulis kembali ke Kuala Lumpur bagi menyertai Zoo Negara Malaysia sebagai Ketua Jabatan Perhubungan Awam. Pada tahun yang sama, buku pertama beliau berjudul ‘Fail Sulit Presiden Amerika’ diterbitkan oleh PTS Millenia. Kini, beliau bertugas di Pejabat Menteri Pertahanan di MINDEF Kuala Lumpur, sebagai Penulis Ucapan kepada YB Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, selain mengusahakan perniagaan sendiri.Penulis percaya nilai moral dan keilmuan yang terkandung dalam Sejarah, seharusnya dikongsi dengan menggunakan kaedah penyampaian interaktif, dialektikal dan trivial. Sejarah menurut penulis, bukanlah suatu ‘subjek mati’ dan eksklusif kepada golongan tertentu sahaja. Bahkan ia sepatutnya dikongsi dalam bentuk yang mudah dicerna oleh minda semua lapisan masyarakat.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024