Penulis

mya_marja3

Mya Marja

Mya Marja adalah nama pena bagi Muhd. Yatim Marjiko yang berkhidmat sebagai guru di sebuah sekolah rendah di pedalaman Negeri Sembilan. Beliau dilahirkan pada 21 Mei 1972 di Sabak Bernam, Selangor. Menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Seri Cempaka dan Sekolah Kebangsaan Teluk Ru, Sabak Bernam. Kemudian, menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Munshi Abdullah, Sabak Bernam sehingga tingkatan lima. Pelajaran dilanjutkan ke peringkat tingkatan enam di Sekolah Menengah Ungku Aziz, Sabak Bernam. Beliau kemudian diterima masuk ke maktab perguruan di Institut Bahasa Kuala Lumpur. Pengkhususan beliau adalah Pengajian Sekolah Rendah (Pengajian Melayu). Semasa di semester lima, beliau menjalani praktikum (latihan mengajar) bersekali dengan penempatan mengajar di sebuah sekolah di Negeri Sembilan. Selepas lima tahun berkhidmat sebagai guru, beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia secara Pengajian Pendidikan Jarak Jauh dan berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sejarah) empat tahun kemudian. Namun begitu, beliau tetap mendapat penempatan mengajar di sekolah rendah, sekolah yang sama semasa beliau mula-mula ditempatkan mengajar.Pengalaman sepanjang terlibat dalam dunia pendidikan diabadikan di dalam novel profesion ini. Novel yang menyorot kehidupan seorang pemuda dari kecil hingga bekerja sebagai guru turut menampilkan suka dan duka dunia pendidikan yang dilaluinya. Kini, beliau masih berkhidmat sebagai guru bahasa Malaysia di sebuah sekolah rendah.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024