Penulis

Shebby Singh

Shebby Singh ataupun nama sebenarnya Serbgeth Singh dilahirkan pada 20 Ogos 1968 di Kluang Johor. Beliau adalah anak sulung daripada empat orang adik-beradik. Di dalam keluarganya hanya beliau sahaja yang meminati sukan bola sepak. Minat bermain bola sepak banyak dipengaruhi oleh jiran-jiran yang tinggal berdekat di kawasan rumah. Mereka selalu bermain bola sepak pada setiap petang dan ini menarik perhatian Shebby. Pendidikan awal yang diterima adalah di Sekolah Tengku Mahmud (I) Kluang. Kemudiannya beliau melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat SPM di Sekolah Menengah Inggeris, Kluang.

Pada seawal usia 16 tahun, Shebby memulakan kerjaya bola sepaknya dengan Kelab Belia 4B Kluang dalam Divisyen 2, liga daerah Kluang. Pada tahun berikutnya iaitu 1977, kelab pertama yang disertai oleh beliau memasuki Divisyen 1 liga selepas menjuarai Divisyen 2. Seterusnya pada tahun 1978, Shebby mewakili daerah Kluang sekali gus diserapkan ke dalam skuad negeri Johor sehingga akhir musim tahun 1983. Pada tahun itu juga, Shebby berpindah ke pasukan Kuala Lumpur yang menyaksikan beliau digantung selama setahun oleh Persatuan Bola Sepak Johor atas alasan meninggalkan pasukan negeri tanpa kebenaran. Hanya pada 1985 beliau mewakili KL secara rasmi sehingga tahun 1990.

Shebby berpengalaman mewakili banyak pasukan negeri seperti Pahang, Negeri Sembilan dan akhir sekali Perak sebelum bersara kerana faktor usia ketika berumur 36 tahun. Pada peringkat antarabangsa, beliau mewakili Malaysia selama 9 tahun bermula pada 1982 sehingga 1991. Sepanjang penglibatannya dalam bola sepak, Shebby membantu KL menjuarai Piala Malaysia sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1987, 1988 dan 1989. Seterusnya bersama-sama pasukan KL, menjadi johan Piala FA sebanyak dua kali. Bersama Kelab DBKL, tiga kali berjaya memenangi Piala FAM. Bagi pencapaian antarabangsa, beliau bersama pasukan Malaysia menjadi juara Pesta Bola Merdeka pada 1986 selepas menewaskan kelab Sigma Olomouc dari Divisyen 1, Liga Chezkoslovakia dengan jaringan 3-1. Pada 1989, beliau membantu pasukan Malaysia mengalahkan Singapura untuk pingat emas di kejohanan Sukan SEA.

Selepas bersara pada 1996, beliau terus menyertai ASTRO pada 1997 sebagai pakar analisis bola sepak selama empat tahun. Kemudiannya pada Ogos 2001 sehingga sekarang, beliau menyertai ESPN Star Sports sebagai pengulas dan pakar rujuk dunia bola sepak. Shebby pernah mengendalikan satu rancangan bola sepak di salah satu stesen radio iaitu Tiger On The Ball. Kini, beliau menjadi pengacara rancangan bicara sukan Shebby On The Line di saluran ASTRO. Beliau berpengalaman luas selama sepuluh tahun menjadi pengulas dan penganalisis bola sepak untuk acara-acara besar seperti Piala Dunia, Piala Konfederasi, Piala Eropah dan EPL. Selain dunia bola sepak, beliau menguruskan perniagaan menjual rumput tiruan jenama fieldturf di bawah syarikat Blondal All-Turf Sdn. Bhd. iaitu pengedar tunggal di Asia Tenggara.

Penglibatan Shebby sebagai ketua jurulatih pasukan myTeam bermula pada Februari 2006. Shebby turut serta dalam program jelajah seluruh Malaysia pada setiap minggu bagi mencari bakat-bakat baru dalam bola sepak. Satu kem latihan pusat diadakan selama enam minggu bagi membentuk satu pasukan yang mantap. Kemuncak kepada program myTeam ini adalah perlawanan persahabatan menentang pasukan pilihan Malaysia yang mendapat keputusan 1-2. Ini adalah peluang keemasan untuk Shebby berkongsi kepakaran dan pengalamannya selama 20 tahun di padang bola sepak dengan pemain-pemain muda. Shebby berpendapat untuk menjadi pemain bola sepak yang baik, individu itu perlu ada minat yang mendalam kepada bola sepak dan sanggup bekerja keras. Bermain bola sepak kerana kecintaan kepada bola sepak bukannya kerana wang ataupun nama.

Bagi membantu meningkatkan prestasi bola sepak tanah air salah satu cara adalah dengan menghidupkan semula liga tempatan di setiap daerah. Ini dapat memberi lebih banyak pendedahan dan peluang beraksi di atas padang kepada pemain-pemain muda. Perlawanan persahabatan di peringkat antarabangsa juga patut diadakan dengan lebih kerap untuk pasukan-pasukan kebangsaan. Shebby bercita-cita mahu meningkatkan kerjaya dan ilmu pengetahuan dalam bidang bola sepak serta berjaya dalam perniagaan. Salah satu impian yang ingin dicapai adalah menjadi jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan pada masa hadapan untuk membalas jasa rakyat Malaysia.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024