Penulis

Sukma N.A.

SUKMA N.A, atau nama penuhnya Sukmana, dilahirkan di Subang, Indonesia pada 20 Ogos 1961. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda pada tahun 1984 dan kemudian melanjutkan pelajarannya di Jurusan PPB (Psikologi Pendidikan dan Bimbingan) di UNINUS (Universitas Islam Nusantara), Bandung sehingga berjaya memperoleh Ijazah Sarjana pada tahun 1987. Beliau pernah menjadi guru pembimbing di SMA Negeri Balaraja, Tangerang dari tahun 1988 hinggalah 1993. Seterusnya, dari tahun 1993 hingga sekarang, beliau menjadi guru pembimbing di SMA Negeri 10, Bandung. Beliau juga bertugas sebagai guru pembimbing di SMA YAS (Yayasan Atikan Sunda), Bandung dari tahun 1996 hinggalah sekarang.

Selain daripada menjadi guru pembimbing, Sukma M.A juga aktif sebagai penulis bebas (freelance) sejak 1987 hingga ke hari ini. Hasil tulisan beliau, yang berjumlah lebih kurang 400, disiarkan dalam 34 buah media massa (surat khabar, majalah dan tabloid), di antaranya Pikiran Rakyat, Galamedia, Hikmah, Galura, Amanah, Gerbang, Warnasari, Intisari, Sahabat Pena, Suara Karya, Suara Daerah, Suara Publik dan lain-lain lagi.

Beliau juga pernah meraih beberapa pencapaian dan anugerah, di antaranya adalah Juara II Lomba Karya Tulis Ilmiah antarguru se-Jawa Barat, yang dianjurkan oleh BKSN (Balai Kajian Sejarah dan Nilai Tradisional) pada tahun 1995, Juara Harapan II Lomba Karya Tulis Ilmiah antarguru se-Jawa Barat, yang dianjurkan oleh UNPAD Bandung pada tahun 1999 dan Guru Teladan Tingkat Kota Bandung pada tahun 2000.

Selain daripada itu, beliau juga menjadi penulis Suplemen Kurikulum pada 2001. Beliau juga diberi kepercayaan menjadi salah seorang ahli panel dalam Wawancara dengan Radio BBC London melalui telefon, secara langsung dari England. Wawancara itu berlangsung dalam satu program yang dipanggil ‘Dunia Pendidikan’ pada tahun 2002 dan yang berkaitan dengan salah satu tulisannya yang disiarkan dalam Pikiran Rakyat, Bandung.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024