Penulis

Umi Kalthum

Profesor Madya Dr. Umi Kalthum Ngah dilahirkan di Sungai Nibong, Pulau Pinang. Beliau bertugas sebagai ahli akademik di Universiti Sains Malaysia sejak tahun 1981. Kini beliau menyemai bakti di Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kejuruteraan, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang. Di samping tugas harian sebagai ahli akademik, beliau juga meluangkan masa menghasilkan buku dan bahan penulisan di akhbar harian, khususnya ruangan Jendela Hikmah dan Bicara Hati, Berita Harian. Malah menghasilkan bahan penulisan adalah cara beliau menangani tekanan dan kebuntuan, yang mana usaha ini dimulai ketika menyudahkan tesis doktor falsafah beliau dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Universiti Sains Malaysia yang baru diterimanya.

Beliau tidak mendapat pendedahan formal dalam bidang penulisan tetapi berkat tunjuk ajar dan menghadiri kuliah berkala anjuran PTS dan bimbingan Puan Ainon Mohd, beliau berjaya menghasilkan beberapa buku yang boleh dimanfaatkan oleh ibu bapa, buat tatapan remaja dan kanak-kanak.

Semoga bahan-bahan penulisan beliau dapat mengisi ketandusan bahan bacaan bermutu untuk masyarakat, khususnya generasi muda dalam membina jati diri Muslim di negara yang tercinta ini.

http://www.blogger.com/profile/03523713556114432675

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2022