Berita

Baca @ Ramadan: Riyadus Solihin, Taman Orang Soleh

oleh Hairul Faizal Adli pada 17 Jul 2012

Kehebatan kitab ini sesuai dengan keindahan namanya. Kitab ini menjadi rujukan utama para ulama dan orang Islam di seluruh dunia. Riyadus Solihin adalah karya agung Imam Nawawi, yang terkenal dengan gelaran Garuda Islam. Beliau adalah anak murid kepada Imam al Syafii yang mengasaskan Mazhab Syafii. Imam Nawawi adalah ulama agung yang dikurniakan dengan keluasan ilmu dan kefahaman yang mendalam berkenaan sunah Rasulullah.

Rujukan yang sahih adalah petunjuk yang benar. Kitab ini mendapat kedudukan yang tinggi dalam pengajian pada setiap peringkat ilmu. Riyadus Solihin menghimpunkan ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang sahih dalam membincangkan topik-topik khusus berkaitan akidah, ibadah, dan akhlak. Tiga topik ini sangat penting dan menjadi asas keimanan kita.

Lebih-lebih lagi apabila kita berada pada akhir zaman. Perkara sunah dan bidaah bercampur-baur dalam kehidupan seharian kita. Dengan kecetekan ilmu, kita sukar membezakan antara sunah dan bidaah. Begitu juga dengan hadis. Kebanjiran hadis palsu mendatangkan kekeliruan dalam beragama. Bagi mengelakkan kita lemas dalam lautan ilmu, kitab ini dapat menjadi pembimbing dan penyelamat kita.

Menyedari hakikat ini, dengan izin Allah, PTS Media Group cuba menyempurnakan tuntutan fardu kifayah bagi menyebarkan ilmu dan membudayakan ilmu dengan kitab Riyadus Solihin ini. Terjemahan kitab ini daripada bahasa Arab kepada bahasa Melayu diharap supaya dapat menyebarluaskan lagi manfaat dan hikmah yang terkandung dalam kitab ini. Bagi menjayakan misi keilmuan ini, PTS Media Group giat menjalankan kempen Baca@Ramadan dengan temanya “Mencari Rahmat dalam Sinaran Ilmu” dan “Meraikan Ramadan dengan Buku”. Mudah-mudahan kempen ini dapat menjadi sebahagian daripada usaha bagi meramaikan lagi generasi ulul albab yang akan menjadi khalifah bagi memimpin ummah.

Sesuai dengan namanya yang indah, kitab Riyadus Solihin ini mempunyai kehebatannya yang tersendiri. Semuanya berlaku dengan izin Allah. Taman orang soleh, itulah makna bagi Riyadus Solihin. Kitab ini ditujukan khas oleh penulisnya, Imam Nawawi kepada seluruh umat Islam. Himpunan ayat al-Quran dan hadis sahih menjadi siraman kerohanian yang membenihkan amal dan menyuburkan iman.

Rumah kita yang dianggap sebagai syurga sangat sesuai sekiranya dihiasi dengan sebuah taman. Maka, Riyadus Solihin, Taman Orang Soleh sangat wajar menjadi pelengkap bagi menghiasi rumah kita. Satu rumah, satu Riyadus Solihin.

Komen Pembaca