Artikel

Soalan Lelaki Ini Membawa Beliau Mengkaji Agama-Agama di Dunia

oleh Ahmad Iqram Mohd Noor pada 22 Nov 2016

Masih segar dalam ingatan saya ketika saya belajar aqidah dalam jurusan Usuluddin di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) terdapat satu perbincangan yang mematangkan diri ini agar berhati-hati dalam mengemukakan persoalan dan penghujahan.

Dalam pengajian aqidah dalam bab Tauhid, pensyarah saya membincangkan mengenai konsep tauhid dan politheisme yang sentiasa kita dengari iaitu

“Sekiranya Tuhan itu ada ramai nescaya mereka akan berbalah”

ditambah dengan contoh

“Tuhan pertama mahu menerbitkan matahari, manakala tuhan kedua tidak bersetuju untuk menerbitkan mahatari, dan tuhan ketiga mahu menurunkan bencana dan tuhan keempat tidak bersetuju untuk diturunkan bencana”

Pada ketika itu saya mempersoalkan, “Sekiranya begitu dakwaan ustaz, cuba ustaz datangkan, dalam agama mana yang mengatakan dua tuhan yang memiliki kuasa yang setara dan sama? sebab untuk mereka berbalah sebegitu semestinya mereka memiliki kuasa yang sama dan setara antara satu sama lain, seperti pencipta vs pencipta.” Soal saya.

Ketika itu beliau kelihatan cuak dan mula bertanya kepada sahabat kelas yang lain sekiranya mereka ada jawapan untuk itu.

Saya mengasak lagi, “Saya mempelajari dengan seorang Brahmin, dalam Hindu mereka percaya kepada trimurti, tiga tuhan utama Siva, Visnu dan Brahma.

Akan tetapi masing-masing tidak ada kekuasaan yang sama dan setara seperti Siva penghancur atau bencana, Visnu sebagai pemberi rahmat dan rezeki, dan Brahma pula pencipta.

Mereka tidak bergaduh kerana mereka memiliki tugas tersendiri. Begitu juga dengan triniti dalam Kristian, mana ada pergaduhan antara tuhan bapa, roh kudus dan anak Tuhan?

Jadi bagaimana ustaz mahu membenarkan contoh ustaz tadi dengan mengatakan tuhan ramai itu mereka akan berbalah agar relevan dalam agama-agama yang sedia ada?

Soalan saya seakan menafikan kenyataan itu agar ia perlu dilihat dengan konteks realiti agama-agama yang ada.

Oleh kerana darah muda membuak, membuatkan saya selesa dengan soalan itu dan mula rasa acah-acah ‘rebel’ tambahan pensyarah saya tidak dapat menjawab persoalan itu.

Oleh kerana saya memegang prinsip, setiap persoalan ada tanggunjawabnya iaitu jangan berhenti mencari sehinggalah akhirnya saya menemui jawapannya apabila mula membaca kitab-kitab agama di dunia.

Sebenarnya, yang mengatakan akan berlakunya paradoks (kacau bilau) pentadbiran di alam ini apabila memiliki tuhan yang ramai adalah Al-Quran sendiri mengkhabarkan yang bermaksud:

“Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah dengan menegaskan): Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, dari apa yang mereka sifatkan.” (Surah al Anbiyaa’: 22)

Ketika saya membaca kitab agama Hindu seperti Siva Purana, ternyata cara saya memahami trimurti Hindu seperti yang dijelaskan oleh Brahmin kepada saya itu meleset

Kerana di dalam kitab itu terdapat kisah peperangan sengit antara Brahma dengan Vishnu, peperangan itu menyebabkan para dewa di langit berasa bimbang akan kehancuran alam.

Begitu juga di dalam buku yang sama menceritakan Brahma menipu (membuat helah) kepada Siva (dalam bab Lingga Siva) sehingga dia dihukum oleh Siva dengan tidak wujudnya kuil sembahan Brahma sepertimana hari ini dapat dilihat tidak ada aliran mazhab penyembah Brahma.

Malah masih terdapat banyak lagi di dalam kitab Purana yang menceritakan peperangan antara Tuhan ini. Perkara ini membetulkan salah faham saya sebelum ini dan mengajar kepada saya agar mulut orang ‘agama’ (Brahmin) tidak boleh menjadi sandaran kecuali diberi bersama dengan rujukannya.

iqram

Dibuka lagi rujukan Parsi (Myth of Persian) yang mana tulisan evolusi kedua agama Zoroaster pada zaman Parthia dan Sasanid juga memiliki kisah perbalahan di antara dua kuasa yang sama hebat

Iaitu kegelapan yang dikenali Ahriman (Angra Manyu) dan juga cahaya iaitu Ahura Mazda (Tuhan). Dari perbalahan ini wujudnya konsep dualisme dalam Zoroaster.

Dibuka lagi di dalam buku Kojiki dan juga Nihon Shoki yang merupakan dua buah buku terawal menceritakan sejarah negara Jepun. Di dalam buku ini mengetengahkan mitos kepercayaan masyarakat Jepun (Shinto) mengenai sejarah dewa-dewi mereka.

Diceritakan juga cerita Dewi Ameterasu Omikami (dewi matahari) berbalah dengan Dewi Tsukuyomi (Bulan) dengan menuduh Tsukuyomi adalah dewi jahat lalu menyebabkan Ameterasu menjauhkan diri dengannya dan itu alasan kenapa malam dan siang tidak pernah bersama.

Dalam buku ini juga ada menceritakan kisah peperangan antara Dewi Ameterasu dengan Susanoo (dewa ribut).

Begitu juga dengan kisah dewa dewi dalam agama lain turut memiliki kisah pertarungan antara mereka seperti mitos dewa Yunani, mitos dewa Asatru (Loki, Thor dan lain-lain), mitos dewa mesir (Horus vs Set), mitos Cina dan lain-lain.

Hakikatnya ia menggambarkan kecelaruan dalam pentadbiran alam. Hal itulah yang disebutkan di dalam surah Al-Anbiya’ ayat 22.

Saya merenungi ayat ini yang bermaksud: “Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya.” Allah mengetahui akan berlaku kerosakkan jika hal ini benar-benar terjadi.

MENARIK: Bukti Islam Agama Tertua dan Sebab Muncul Pelbagai Agama

MENARIK: Bid’ah Perkara Paling Bahaya Dalam Agama

buku iqram

Klik di sini untuk membeli buku ini

MENARIK: Isu-Isu Sensatif Dalam Setiap Agama Yang Ramai Tidak Tahu

Malah manusia juga memahami akan berlakunya kerosakkan pentadbiran alam ini jika tuhan itu ramai. Jika tidak, mana mungkin wujudnya mitos-mitos peperangan tuhan di dalam kepercayaan mereka.

Oleh kerana sebahagian manusia di dunia ini beranggapan tuhan itu seperti manusia, adanya lemah, adanya dendam, adanya kesedihan sehingga memerlukan tuhan berkorban untuk manusia.

Oleh kerana manusia itu dirumitkan kepada mereka untuk memahami bagaimana Tuhan yang sebenar dengan perlunya ditambah imaginasi dan cerita untuk membantu mereka bagi memahami bagaimana bentuk tuhan itu kuat dengan mitos perang dan sebagainya.

Akan tetapi sekiranya mereka berani menggunakan sedikit akal dan fikiran untuk merenungi kebobrokan kepercayaan ini, nescaya tidak susah untuk mereka memahami mengapa perlunya Tuhan itu Esa.

*Nota Editor, Tulisan ini diambil dengan izin penulis, Ahmad Iqram Mohd Noor di facebook beliau. Beliau adalah penulis buku Yahudi, Kristian, Hindu dan Buddha berasal daripada Islam? Buku beliau sebelum ini Kau Sembah Apa? dan Misteri Bahtera Nabi Nuh, juga diterbitkan oleh PTS Publishing House Sdn. Bhd.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024