Artikel

Capai Kebebasan Kewangan: Konspirasi Kekayaan & 8 Peraturan Baru Wang

oleh Asri Yussof pada 27 Jan 2016

Dalam banyak buku di Malaysia dengan judul yang mempunyai perkataan ‘Konspirasi’ sering berkaitan tentang agama dan politik. Dalam membincangkan soal duit dan kewangan, inilah buku yang berani menggunakan perkataan ‘konspirasi’ pada nama judulnya. Berani atau tidak untuk kita membaca dan percaya. Jangan jawab lagi, sekuranganya baca dahulu butiran lanjut di bawah yang ingin saya kongsikan, pada akhirnya anda sendiri yang jawab kepada diri sendiri, berani atau tidak.

Duit dan kewangan adalah sesuatu yang tidak boleh dipisahkan dengan politik pemerintahan atau kekuasaan. Ianya adalah sesuatu alat asas untuk menggerakkan sesuatu keputusan untuk kepentingan orang ramai atau yang bersifat peribadi. Robert T. Kiyosaki bermula cerita konspirasi ini dengan sejarah yang berlaku pada tahun 1971, yang mana Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Richard Nixon telah mengeluarkan USD daripada piawaian emas dan mengubah peraturan wang, tanpa persetujuan Kongres Amerika. Bukan sahaja Amerika, malah seluruh dunia. Perkara ini membawa kepada krisis kewangan.

Bagi masyarakat awam seperti kita, yang sudah mengikuti pendidikan di sekolah dengan lompang tanpa adanya pendidikan kewangan akan berkata, “Mudah sahaja, kita kembalikan semula piawaian mata wang sama dengan piawaian emas, selesai masalah.” Konspirasinya, bagaimana krisis ini dapat diselesaikan sedangkan orang-orang dan organisasi yang mencipta krisis ini. Terkejut bukan? Ada lagi…

Konspirasi lagi, Robert T. Kiyosaki sebagaimana beliau memeta bukunya dalam dunia Amerika, dalam kempen presiden Amerika, calon presiden John McCain menyatakan pada akhir 2008, “Asas-asas ekonomi kita adalah kukuh,” dan sewaktu beliau menyatakan hal itu, Indeks Saham Dow jatuh paling banyak, iaitu 504 mata pada hari itu. Mari kita bandingkan dengan situasi di Malaysia, bukankah sama? Banyak kenyataan seolah cuba menyejukkan keadaan ekonomi sedangkan apa yang diperhatikan masyarakat adalah berbeza daripada kenyataan-kenyataan media yang tersebar.

Mengenai konspirasi, Robert T. Kiyosaki menyentuhnya melalui 5 bab pertama, (1) Dapatkah Obama menyelamatkan dunia? (2) Konspirasi terhadap pendidikan kita, (3) Konspirasi terhadap wang kita: Bank tidak pernah kehabisan wang, (4) Konspirasi terhadap kekayaan kita, (5) Konspirasi terhadap kepintaran kewangan kita.

Paling penting, buku ini tidak membincangkan tentang konspirasi dan meninggalkan kepada pembaca dengan hal yang bersangkutan konspirasi semata. Dalam 7 bab akhir, dari bab 6 ke 12, penulis memfokuskan agar para pembaca boleh menentang kembali konspirasi-konspirasi yang dijelaskan dalam 5 bab pertama iaitu melalui konklusi 8 peraturan baru wang: (1) Wang adalah ilmu pengetahuan, (2) Belajar bagaimana menggunakan hutang, (3) Belajar mengawal aliran tunai, (4) Bersedia untuk masa yang buruk dan kita akan hanya mengingati masa yang baik, (5) Keperluan pada kepantasan, (6) Belajar bahasa wang, (7)Hidup ini ibarat sebuah pasukan sukan, (8) Belajar mencetak wang sendiri.

Soalan saya, berani atau tidak untuk kita membaca dan mempercayainya? Selamat membaca!

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024