Artikel

Erti Sebenar: Fiqh Hiburan dan Rekreasi

oleh Nurul Aida Abd Aziz pada 25 Feb 2014

Hiburan dan sukan merupakan fitrah kejadian manusia. Hiburan adalah penenang jiwa dan meringankan bebanan fikiran. Hiburan ibarat “ubat bius” setiap insan selepas penat bekerja seharian.Di Malaysia, bagai cendawan yang tumbuh selepas hujan, terlalu banyak rancangan realiti televisyen yang membangkitkan keseronokan manusia.

Antaranya, rancangan Maharaja Lawak yang mengutip berjuta-juta ringgit setiap kali siarannya, rancangan Fear Factor, Akademi Fantasia dan sebagainya.Setiap stesen televisyen berlumba-lumba untuk mereka rancangan realiti sendiri dan ada yang mereplikakan rancangan realiti televisyen di Barat dan mengimplementasikannya di Malaysia.

Hiburan dibenarkan dalam Islam andai masih menjaga syarat-syarat dalam berhibur. Rasulullah S.A.W. tidak menghalang isteri-isteri Baginda untuk berhibur.Namun, akhir zaman ini, terlalu banyak hiburan dan ada yang telah menyimpang dari syariat Islam.

Melihat keadaan ini, Dr. Yusuf al-Qaradhawi berijtihad dan mengeluarkan fatwa hukum bagi hiburan dan aktiviti sukan, seperti yang dijelaskan dalam kitab “Fiqh Hiburan dan Rekreasi.”Kitab ini dikayakan dengan perbahasan tentang hiburan, terutamanya semasa zaman Rasulullah S.A.W dan dikukuhkan lagi dengan dalil dari nas al-Quran.

Ia juga menjawab persoalan masa kini mengenai hiburan kontemporari seperti permainan domino, pertandingan secara khidmat pesanan ringkas (SMS), sukan renang, yoga dan sebagainya.

Ijtihad yang dilakukan oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi melihat kepada realiti kehidupan masa kini dan dihuraikan terperinci berdasarkan pengukuhan ilmu, pengalaman dan pengamatan beliau terhadap umat Islam masa kini.Mudah-mudahan, Allah mengurniakan kefahaman yang mendalam tentang hiburan dan sukan kepada kita menerusi tulisan Dr. Yusuf al-Qaradhawi.

Andai menepati kehendak syarak, berhibur dan bersukan mampu dijadikan medium berdakwah untuk menarik ramai umat manusia memilih Islam sebagai agama fitrah.

           “Permudahkan mereka dan jangan dipersulitkan, serta gembirakan mereka dan jangan membuat mereka menjauhi kamu.”

            - Direkodkan oleh Imam Bukhari dalam kitab Al-Ilmu dan Imam Muslim dalam kitab Al-Jihad Wa As-Sair.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024