Artikel

25 tahun pesta buku KL

oleh Helmi pada 28 Mar 2006

Oleh DR. MD. SIDIN AHMAD ISHAK


Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) tahun ini menyambut ulang tahun ke-25 Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Ini berdasarkan pameran pertama yang diadakan di bawah kelolaannya pada tahun 1982 dengan nama Pesta Buku Malaysia. Namun, pameran buku peringkat antarabangsa yang pertama diadakan di negara ini dikendalikan jauh lebih awal iaitu pada tahun 1972, sempena Tahun Buku Antarabangsa yang diisytiharkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Menurut minit mesyuarat Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), pameran itu diadakan di Kuala Lumpur dan disebut sebagai Pameran Antarabangsa Perdagangan dan Industri Buku.

Pada tahun-tahun berikutnya, MABOPA terlibat dalam pengelolaan beberapa pameran dan penjualan buku seperti Pameran Buku Kanak-Kanak sempena Seminar Pendidikan Awal Kanak-Kanak anjuran Kementerian Pendidikan dan Universiti Malaya (UM) dengan sokongan Vanleer Foundation, Belanda.

Kemudian, pada tahun 1976, MABOPA mengadakan Pameran Buku Kebangsaan di Dewan Perhimpunan Cina, Kuala Lumpur dengan harapan untuk menjadikannya sebagai acara tahunan.

Pameran ulung peringkat kebangsaan oleh persatuan itu disertai 17 syarikat penerbitan mengambil bahagian dalam majlis selama empat hari.

Demikianlah permulaan usaha-usaha untuk mengadakan pameran dan pesta buku sebagai kegiatan komunikasi pemasaran dalam bidang perbukuan. Hasrat untuk mengadakan pameran buku peringkat nasional sebagai acara tahunan hanya dapat direalisasikan mulai tahun 1982. MABOPA yang telah berpengalaman menganjurkan majlis sedemikian telah diberi tanggungjawab oleh MBKM untuk melaksanakannya hinggalah menjelang penghujung tahun 1980-an apabila acara itu ditukar nama kepada Pesta Buku Kuala Lumpur (PBKL) daripada Pesta Buku Malaysia.

Pada tahun 1991 PBKL menjangkau usia sepuluh tahun. Dalam jangka masa sedekad itu, PBKL yang bertahap nasional telah mengorak langkah menjadi acara antarabangsa dengan menukarkan namanya kepada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL).

Dengan menggunakan nama Kuala Lumpur ini, pesta buku tersebut berharap agar setanding dengan pesta-pesta buku antarabangsa lain yang menonjolkan bandar raya masing-masing seperti Frankfurt, London, Bologna, Toronto, Beijing dan sebagainya. Dengan berbuat demikian, menurut Pengerusi MBKM ketika itu, Tan Sri Awang Had Salleh, Kuala Lumpur dapat ditonjolkan sebagai pusat penerbitan buku dengan segala kemungkinan untuk menjadi pusat serantau dan antarabangsa dalam bidang perbukuan.

Sebanyak 300 gerai telah diperuntukkan bagi acara tersebut dengan penyertaan oleh 100 pengusaha dari dalam dan luar negara. Antara pengusaha-pengusaha luar negara ialah Harcourt Brace Javanovich, HarperCollins Publishers, John Wiley & Sons, McGraw-Hill, Simon Schuster, Toppan Co., dan sebagainya.

Penerbit-penerbit dari ASEAN juga menyertai pameran tersebut. Selain penyertaan yang bertambah baik daripada pengusaha buku, PBAKL mendapat kunjungan yang menggalakkan daripada orang ramai. Dalam PBAKL ke-12, sejumlah 334,000 penggunjung telah dicatatkan dan ini merupakan angka yang tinggi secara perbandingannya walaupun merosot daripada sejumlah 545,000 orang pada tahun 1992.

Angka tahun 1993 juga sebenarnya menunjukkan kemerosotan daripada angka tahun 1991 yang mencatatkan sejumlah 350,000 pengunjung.

Tahun 1996 memperlihatkan satu titik baru dalam sejarah PBAKL. Dalam ulang tahun yang ke-15, pesta ini mula dikelolakan oleh Majlis Industri Buku Malaysia (MBIC) iaitu gabungan lima persatuan industri buku negara yang terdiri daripada Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Ikatan Penerbit Buku Bumiputera Nasional (IKATAN), Persatuan Penjual Buku Malaysia (MBA), Persatuan Pengimport Buku Malaysia (MBIA) dan Persatuan Kontraktor Buku Malaysia (PKBM).

Menurut Hasrom Haron, Pengerusi PBAKL 1996, perubahan tersebut memberi erti yang besar kepada anggotaanggota industri buku. Ini menunjukkan kerjasama dan kesatuan yang mantap antara para penggiat industri buku di samping meletakkan Malaysia ke pentas yang sama dengan rakan-rakan sejawatan di negara lain. Menurut persetujuan, pengerusi bagi acara tahunan itu akan dipegang secara giliran di kalangan ketua pemimpin kelima-lima organisasi perbukuan itu.

Tinjauan yang dilakukan ke atas sambutan pada tahun 2000, menunjukkan peningkatan semula ke atas jumlah pengunjungnya. Jumlah pengunjung bagi tahun 2000 melonjak sebanyak 55 peratus, daripada 64,368 orang (1999) menjadi 99,476 orang (2000). Jika dilihat statistiknya secara mendalam, pengunjung wanita mencatatkan peratus tertinggi iaitu sebanyak 45 peratus, diikuti dengan pengunjung lelaki 37 peratus dan kanak-kanak sebanyak 18 peratus. Keadaan ini berbeza dengan catatan yang diperoleh daripada tahun 1999. Pada tahun tersebut pengunjung lelaki telah mencatatkan jumlah peratusan yang tertinggi iaitu sebanyak 46 peratus, pengunjung wanita sebanyak 40 peratus dan pengunjung kanak-kanak sebanyak 14 peratus.

Kebanyakan pesta buku antarabangsa merupakan tempat penting bagi pertemuan penggiat buku; bukan sahaja penerbit dan penjual tetapi juga karyawan buku seperti penulis, penerbit, penyunting, ilustrator, pustakawan dan ejen karya.

Salah satu pertemuan antarabangsa yang pernah diadakan sempena PBAKL ialah The 9th International Forum Antarabangsa Ke-9 mengenai Kajian Penerbitan pada tahun 1999.

Seminar ini bertempat di UM dan dikendalikan oleh Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama MABOPA, MBKM dan Persatuan Kajian Penerbitan Jepun.

Tumpuan

Forum ini memberi tumpuan pada pengajian dan penyelidikan penerbitan di rantau Asia. Majlis yang berlangsung selama dua hari itu bertema Penerbitan Semasa Keadaan Krisis: Cabaran dan Peluang Bagi Asia.

Pada tahun sebelumnya, Perpustakaan Negara pula menjadi tuan rumah untuk pertemuan di kalangan pustakawan dan penerbit dari ASEAN dalam satu persidangan yang besar.

Satu aktiviti yang menarik dan ditunggu-tunggu dalam PBAKL ialah penganugerahan pada karyawan-karyawan buku dalam aktiviti Hadiah Buku Kebangsaan Malaysia. Hadiah ini dianggap berjaya mengetengahkan buku-buku terbaik di Malaysia dalam pelbagai kategori. Ia diperkenalkan pada tahun 1991, sempena PBAKL Ke-10. Projek yang sepatutnya merupakan acara tahunan ini telah terbantut pada tahun 1997 dan 1998 kerana masalah penajaan.

Pada tahun 1999, ia diadakan semula dan selepas itu terhenti sekali lagi sehingga kini.

Menjelang abad 21, PBAKL diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai pameran buku yang terbesar diadakan di Malaysia. Untuk membaiki prestasinya selepas empat tahun di bawah tanggungjawab MBIC maka MBKM mengkaji semula perjanjiannya dengan organisasi pengelola itu. Pada tahun 1999 diadakan memorandum persefahaman antara MBKM dengan MBIC untuk meliputi tempoh lima tahun (1999-2003).

Antara lain, butir-butir perjanjian itu menyebut bahawa MBKM bekerjasama dengan MBIC untuk terus mengelolakan pesta tersebut. MBKM bersetuju supaya MBIC menyerahkan kerja-kerja pengurusan pesta itu kepada Malaysian Book Promotion Sdn. Bhd. (MBP) iaitu syarikat komersial milik MBIC.

Apabila tempoh berakhir, maka PBAKL dikembalikan semula kepada MBKM dan mulai tahun 2004, bermulalah pengurusan baru untuk menjayakan aktiviti tersebut. PBAKL 2005 bermula pada 23 April iaitu tarikh yang telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia. Seluruh masyarakat antarabangsa merayakan hari tersebut dengan acara-acara yang berkaitan dengan buku dan pembacaan dan penganjuran PBAKL 2005 pada tempoh tersebut dianggap bertepatan.

Namun, berbeza dengan kebanyakan negara maju, penyelenggaraan pesta buku di Malaysia dikendalikan secara sukarela oleh ahli-ahli jawatankuasa pengelola yang terdiri daripada para penerbit dan pengusaha buku, bukan oleh pasukan pengurusan profesional. Mereka mewakili organisasi masing-masing di dalam industri perbukuan. Komitmen mereka memang tidak boleh dipersoalkan, namun dari segi profesionalisme pengurusan acara perdagangan, mungkin terdapat masalah yang perlu diatasi.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024