Artikel

Kukuhkan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan

oleh Helmi pada 21 Mar 2006

Oleh ROHAIDAH MASHUDI

Tetapi adakah ramai pihak yang menyedari hakikat permasalahan ini atau mereka tidak mengambil endah?

Gambaran-gambaran senario yang dihadapi oleh bahasa Melayu seperti yang dinyatakan oleh Dr. Awang seperti, ``Pengurangan peranan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan sebagai kesan pelaksanaan beberapa keputusan dan pengecualian pengajaran bahasa Melayu sebagai subjek wajib,’’ merupakan satu gambaran ringkas tentang kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kita.

Pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam proses pemerolehan dan pengembangan ilmu, selaras dengan perancangan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 yang diperkukuh oleh Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Rahman Talib 1960 dan dimaktubkan dalam Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996.

Namun begitu sistem pendidikan yang ada pada hari ini seperti menidakkan kemampuan bahasa Melayu dalam mengembangkan ilmu. Hinggakan ada di kalangan para pelajar yang hanya mempelajari bahasa Melayu atas dasar keperluan peperiksaan sahaja.

Syarat

Ini terutamanya apabila bahasa Melayu menjadi syarat untuk para pelajar memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Tetapi bagaimana pula dengan syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS)? Adakah bahasa Melayu menjadi satu tiket syarat utama untuk pelajar melayakkan diri mereka masuk ke IPTS?

Penggunaan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan haruslah dimulakan pada peringkat awal prasekolahan lagi, jangan sesekali membenarkan pihak sekolah mengecilkan ruang masa untuk pelajar mempelajari bahasa Melayu.

Bahkan pada peringkat sekolah menengah pula pelajar harus ditekankan lagi peri pentingnya bahasa Melayu untuk pelajar melangkah ke peringkat pengajian yang lebih tinggi.

Jangan sewenang-wenangnya mengatakan cukup sekadar mendapat kepujian dalam bahasa Melayu untuk melayakkan pelajar lulus dalam peperiksaan yang diduduki tetapi semai dan tanam perasaan cinta kepada bahasa Melayu agar mereka tidak merasa malu untuk terus bertutur dan menggunakan bahasa Melayu.

Hakikatnya kini terdapat segelintir pelajar lepasan sekolah yang merasa malu untuk bertutur dan menggunakan bahasa Melayu kerana sikap mereka yang terlalu mengagungkan bahasa asing.

Bahkan dalam satu keadaan terdapat pelajar yang secara terus terang mengatakan tidak faham sekiranya pengajaran di dalam kelas disampaikan dalam bahasa Melayu walaupun zaman persekolahan mereka bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar.

Adalah mustahil untuk menerima hakikat pelajar yang baru meninggalkan zaman persekolahan dalam masa tidak sampai satu tahun sudah melupakan bahasa Melayu.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024