Artikel
365 Menu Istimewa Chef Hanieliza
oleh Roziyah pada 05 Jul 2010
Chef Hanieliza bakal tampil dengan buku terbarunya 1 Hari 1 Resepi 365 menu istimewa Chef Hanieliza sebagai hadiah kepada peminat-peminatnya.
Buku hasil daripada 15 buah bukunya yang sebelum ini dan 23 resepi istimewa khas untuk peminat bukunya.
"Selain itu dalam buku tersebut kita juga menampilkan rahsia rempah ratus, fungsi peralatan, kegunaan dan khasiat masakan," kata Chef Hanieliza yang menerima cek royaltinya baru-baru ini.
Menurut beliau, istimewanya buku ini apabila Chef Hanieliza menampilkan satu hari satu resepi dalam 365 hari.
Buku yang dijangka terbit hujung bulan Julai ini juga menampilkan testimoni daripada selebriti chef terkemuka di Malaysia.
Chef Hanieliza yang berpengalaman luas dalam bidang masakan aktif menjadi guru masakan selain aktif menulis resepi masakan dalam blognya hanieliza.blogspot.com. Beliau juga aktif dalam forum masakan di internet.
"Saya percaya untuk menghasilkan sesuatu yang baik adalah melalui pengalaman. Saya suka membaca dan membuat latihan untuk memantapkan kemahiran saya," kata Chef Hanieliza lagi.
Bagi beliau buku yang dihasilkan bakal dijadikan kenangan berharga satu hari nanti.
Beliau juga gemar mengadakan promosi untuk pengunjung agar mereka dapat merasai sendiri masakannya.
"Dalam setiap promosi memang kita akan lebihkan masakan kita agar semua pengunjung dapat merasai masakan kita," kata beliau yang tidak lokek ilmu dan hasil masakannya.
Bagi beliau apabila seseorang chef tidak lokek dengan masakannya pasti mereka akan didoakan oleh ramai orang.
Beliau juga pernah menjadi chef jemputan di TV2 dalam rancangan RENGKAS PAGI, terbitan Nafalia Corporation. Chef Hanieliza juga pernah memenangi pertandingan memasak di Dungun dan Kerteh.
Sejak menjadi penulis buku resipi Senangnya Memasak, beliau aktif dijemput bagi melakukan demo masakan di rancangan Wanita Hari Ini, TV3 dan Rancangan Nasi Lemak Kopi O, di TV9.
Selain itu, beliau juga dijemput membuat demo masakan di MPH Mid Valley dan Popular Ikano sempena Pesta buku Popular.
Chef Hanieliza sering menerima komen positif, ucapan tahniah dan ucapan terima kasih daripada peminat-peminat setianya termasuk pembaca yang pernah mencuba resipi-resipi dalam buku resipi Senangnya Memasak.