Artikel

5 Penulis Negeri Sembilan Bertemu

oleh Roziyah pada 19 Jul 2011

5 penulis besar yang namanya sudah dikenali oleh peminat buku tempatan akan bertemu dalam satu majlis bagi menghargai hasil tulisan mereka.

Melalui Pesta Buku Negeri Sembilan 2011, penulis-penulis besar ini akan diraikan dalam majlis Pelancaran Buku Penulis-Penulis Negeri Sembilan.

Penulis Negeri Sembilan yang diraikan dalam majlis ini termasuklah Tuan Abdul Latip Talib melalui buku Pendekar Siamang Gagap, Nisah Haron bersama buku Kawan Baru Hanani, Siti Jasmina Ibrahim dengan buku Hanya Makna, Amiza Khusyi Yusof melalui buku Mentari Mediterranean dan Mahaya Mohd Yassin yang menghasilkan buku Ayahku Pulang.

Majlis gilang gemilang ini akan berlangsung pada 20 Julai ini bertempat di pusat beli belah Jusco Seremban 2 pada jam 2.30 petang.

Sebagai maklumat, Jawatankuasa Gerakan Membaca Negeri Sembilan dan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan menganjurkan Pesta Buku Negeri Sembilan bermula pada 19 Julai hingga 24 Julai ini. Pesta Buku yang diadakan di Pusat Beli Belah AEON Seremban 2 ini membawakan pelbagai buku menarik dari penerbit-penerbit besar di Malaysia. Pelbagai aktiviti menarik juga disediakan bagi memeriahkan Pesta Buku Negeri Sembilan ini.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025