Artikel

PTS Kerjasama dengan Tenaga Pengajar. Terokai Buku Teknologi Kanak-Kanak

oleh Roziyah pada 18 Jul 2011

Buku-buku IT dan teknologi berbahasa Melayu kini mula mendapat permintaan ramai. Selaras dengan itu, PTS yang menerbitkan buku-buku berbahasa Melayu di Malaysia melangkah berani dengan menerbitkan buku-buku IT dan teknologi dalam bahasa Melayu.

Baru-baru ini, wakil PTS NetMedia yang bertangungjawab menerbitkan buku-buku IT dan teknologi meluangkan masa ke Majlis Pelancaran Produk Multimedia oleh Fakulti Seni, Komputer dan Industri Kreatif, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).

Melalui pelancaran tersebut, Fakulti Seni, Komputer dan Industri Kreatif, UPSI, memperkenalkan hasil kajian selama 3 tahun oleh pensyarah-pensyarah fakulti itu sendiri. Tenaga pengajar berkenaan menghasilkan alat bantu mengajar dan panduan buat ibu bapa dalam bentuk CD dan lebih interaktif.

Delegasi PTS NetMedia yang diwakili oleh Mazniza Mohd Nor dan Nawal Hakim Md Yusoff ini membuka peluang dan jalan kepada pensyarah-pensyarah universiti berkenaan bagi menjadikan kajian mereka dalam bentuk buku yang dapat diaplikasikan oleh semua lapisan masyarakat.

"Melalui perbincangan yang diadakan, kami mencapai kata sepakat bagi menerbitkan beberapa buah buku yang ditulis oleh pensyarah-pensyarah ini.

Kami juga merancang bagi mengadakan bengkel penulisan untuk pensyarah-pensyarah di UPSI berikutan pertanyaan mereka berkenaan penerbitan buku. Beberapa buah buku teknologi dan siri teknologi kanak-kanak juga dicadangkan oleh pensyarah-pensyarah yang berminat menulis," jelas Editor Senior PTS NetMedia, Puan Mazniza Mohd Nor kepada wakil media PTS.

Menurut beliau, kerjasama antara PTS NetMedia dan pihak universiti ini sememangnya dialu-alukan. Kerjasama ini juga dapat melahirkan buku-buku teknologi yang berkualiti dan menjadikan PTS NetMedia sebagai penerbit buku teknologi berbahasa Melayu nombor satu di Malaysia.

Sebelum ini PTS NetMedia giat menghasilkan buku-buku IT dan teknologi yang membantu masyarakat memahami dan menguasai teknologi terkini dengan mudah dan cepat. Antara buku teknologi yang dihasilkan termasuklah buku Foto Hebat dengan Kamera Kompak, DSLR Itu Mudah dan banyak lagi. Layari www.pts.com.my bagi mendapatkan buku-buku terbaik IT dan Teknologi terbitan PTS.

Tuan dan puan yang berminat menghasilkan buku IT dan teknologi bersama PTS NetMedia juga berpeluang merealisasikan impian tuan dan puan dengan menghantar email kepada [email protected] ataupun [email protected].

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025