5 Pesan Allahyarham Dato Dr. Haron Din Dalam Bukunya: Manusia Dan Islam

oleh Asri Yussof pada 19 Sep 2016

haron-dine1473996481214

Malaysia sekali lagi berduka atas kehilangan salah seorang tokoh berwibawa negara pada Jumaat lalu. Tokoh berkenaan adalah Datuk Dr Haron Din. Allahyarham disahkan meninggal dunia di San Francisco, Amerika Syarikat jam 10.05 waktu Malaysia akibat komplikasi jantung.

Walaupun permata negara ini sudah pergi meninggalkan kita, namun mutiara hikmah milik Allahyarham tidak akan pernah luput sebagai renungan dan bekalan dalam menjalani kehidupan.

Cuba kita selami beberapa mutiara hikmah ini sebagaimana yang tertulis di dalam buku Manusia Dan Islam hasil penulisan Allahyarham bersama beberapa panel lainnya.

1. Sikap terhadap hidup

Kadang-kadang Allah SWT mendatangkan kesusahan kepada seseorang dengan tujuan menguji dan memperkukuhkan sifat-sifat insaniah seseorang yang ditentukan oleh Allah SWT untuk memikul tanggungjawab yang besar.

2. Islam dan kemiskinan

Seseorang itu diberi peluang mendapat harta, tetapi jangan dia berasa harta benda itu hak mutlak baginya.

Maka, disini ada dua persoalan yang perlu diketahui. Pertama, hak milik memang diakui dalam Islam. Kedua, dalam hak milik kita ada pula hak orang lain, yang mesti dikeluarkan sama ada tuannya rela ataupun tidak. Inilah konsep asas zakat, sedekah dan derma.

3. Wanita dan pekerjaan

Tidak ada larangan agama bagi wanita Islam untuk menjadi pedagang, doktor, peguam, pendidik, kerani dan sebagainya untuk mencari rezeki yang halal pada syarak demi mengisi keperluan negara dan tuntutan hidup yang luas selagi bidang-bidang kerja tersebut munasabah dan keadaan di sekitarnya dapat mengawal akhlak dan maruahnya.

Kalau kita bersikap untuk bebas lepas daripada nilai-nilai rohani, atau bersikap ingin maju setanding dengan laki-laki dalam segenap bidang kerja, sama ada sesuai atau tidak, atau memandang bahawa kerja mendidik anak atau mengurus rumahtangga itu perkara kecil yang tidak sesuai dengan kaliber wanita intelek pada zaman moden ini maka sikap-sikap seperti itu tidak benar.

Ketinggian kaum wanita terserah kepada keluhuran budi pekerti, ketinggian akal fikiran, kebersihan hati dan kebolehannya dalam menjalankan kerja yang ditugaskan kepadanya.

Manusia dan Islam

Jimat 10% di Bookcafe, buku Manusia dan Islam hanya RM 162.00, klik di sini

Baca juga, Buku Manusia dan Islam Papar Panduan Lengkap Mencakupi Semua Aspek dalam Islam

4. Akhlak dan Falsafah Akhlak

Kelahiran ilmu yang dinmakan falsafah akhlak ini adalah kerana tuntutan umat Islam semasa yang filosofik maka ia mempunyai mempunyai daya tarikan yang berkesan bahkan mempersonakan generasi Islam sendiri.

Lebih-lebih lagi sistem pendidikan dan falsafah pendidikan umat Islam dikuasai seluruhnya oleh falsafah pendidikan Barat yang semakin menjauhkan dan meliarkan generasi Islam dari roh dan keperibadiannya sendiri.

5. Islam Adalah Sistem Untuk Semua Manusia

Ia menyediakan peraturan hidup dengan melihat Islam itu dari sudut kemanusiaannya. Oleh itu ia tidak memberi keistimewaan kepada satu bangsa.

Islam bukanlah sistem untuk satu zaman, malahan ia adalah untuk sepanjang zaman. Peraturan-peraturannya sesuai untuk dilaksanakan dalam masyarakat pemerintahan di dunia Barat dan dapat melahirkan tamadun yang agung di Sepanyol.

Islam juga pernah membentuk tamadunnya di kepulauan Melayu dan India. Sebagaimana ia membina tamadun di Afrika dan Asia Barat.

Demikianlah antara beberapa pesanan yang sempat saya kutip berdasarkan pembacaan buku hasil penulisan Allahyarham bersama panel-panel lain. Penghasilan buku Manusia dan Islam ini saya kira sesuai dengan ungkapan Ali bin Abi Talib yang diabadikan oleh Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya ‘Ulumiddin.

“Jika satu ulama wafat, maka ada sebuah lubang dalam Islam yang tidak dapat ditampal kecuali oleh generasi penerusnya.”

Semoga Allahyarham Dato Dr. Haron Din dikumpulkan bersama orang-orang saleh, dan ilmunya diamalkan sebaik-baiknya oleh kita yang masih hidup.

Al-Fatihah.