Artikel

Apa Yang Kita Faham Tentang #SehatiSejiwa?

oleh Huzaifah Abd Jamil pada 15 Sep 2016

“Its 7.54 (meter), he’s breaking the world record again,”

Tertawa sedikit pengulas sukan lompat jauh Sukan Paralimpik Rio 2016. Siapa sangka, rekod itu kemudiannya diatasi oleh orang yang sama dalam kejohanan serupa dengan jarak 0.06 meter.

Tahniah diucapkan kepada anak istimewa kelahiran Kampung Paya Kelubi, Perlis ini. Anda berjaya memecah tiga rekod dunia dengan tiga aksi lompatan dalam satu perlawanan! Dialah, Abdul Latif Romly!

Kejayaan ini menambahkan lagi rasa bangga rakyat Malaysia. Rio de Janeiro kembali riuh dengan nyanyian lagu ‘Negaraku’, yang sebelumnya didendangkan oleh olahragawan 100 meter T36, Mohamad Ridzuan Mohd Puzi, dan pemegang rekod baru dunia acara lontar peluru F20, Muhammad Ziyad Zolkefli.

paralimpik Malaysia 2016

Prestasi atlet Sukan Paralimpik Rio dan juga Sukan Olimpik Rio edisi kali ini sekali lagi berjaya menyentuh hati rakyat Malaysia untuk menghidupkan semangat kesukanan.

Dalam erti kata yang lebih tepat, sehati sejiwa.

Sehati Sejiwa

Inilah tema yang diangkat sebagai menyambut ulang tahun kemerdekaan dan Hari Malaysia yang disambut pada 16 September setiap tahun. Namun adakah kita benar-benar memahami erti sebenar tema ini?

Tema ‘sehati’ menggambarkan hubungan kemasyarakatan yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia demi keharmonian dan kesepaduan negara.

Malaysian People

Bukankah kita ini terkenal dengan masyarakat majmuk? Justeru, warna-warni inilah yang menjadikan Malaysia semakin cantik dipandang mata.

Tujuan bermasyarakat adalah supaya kekal hubungan sesama manusia. Masyarakat sangat menjaga, tidak ada anggotanya yang mati tidak bersebab, diri seseorang tidak boleh dikorbankan melainkan kalau untuk suatu kepentingan bersama, iaitu untuk mempertahankan agama atau tanah air dari bencana serangan musuh. (Ditepitk dari, Buya HAMKA dalam Lembaga Hidup)

Lembaga Hidup

Apakah kesan daripada keharmonian dan kesepaduan masyarakat terhadap negara? Tidak lain, ia akan melahirkan kesefahaman dan saling bahu-membahu antara pemerintah dan rakyat. Inilah yang dikatakan ‘sejiwa’.

Konsep ‘sejiwa’ ini menggambarkan keprihatinan pemerintah dalam menguruskan hal-ehwal berkenaan pentadbiran negara, dalam masa yang sama rakyat diberi peluang untuk menyuarakan pendapat dengan cara yang paling baik.

Di dalam buku-buku Arab zaman pertengahan, jika berkenaan dengan pemerintahan dan politik, kita hanya mendapati nasihat kepada rakyat supaya taat kepada imam, raja, dan sultan dan sabar atas pemerintahannya yang sewenang-wenangnya. Dan terhadap raja-raja itu sendiri disalinkan nasihat-nasihat supaya adil memerintah.

Jika ada seorang alim atau zahid yang berani menasihati raja berhadapan, dipandang suatu nawadir (suatu perbuatan besar luar biasa). Maka politik raja-raja, jika ada ulama yang berpengaruh dan zahid, sangatlah dihormati, sebab orang awam (rakyat) sangat takut dan cinta kepada orang zahid itu. (Buya HAMKA,  Falsafah Hidup)

Falsafah Hidup

Benarlah seperti apa yang dikata orang, ‘sehati sejiwa’ ini mencerminkan roh kesepaduan, kesefahaman, kekitaan dan kemanusiaan seluruh rakyat di negara ini selain melambangkan semangat kesepaduan yang dimiliki oleh semua rakyat tidak kira di mana mereka berada.

Hari Malaysia

Selamat Hari Malaysia 2016! #SehatiSejiwa

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024