Artikel

7 Langkah Bebas Hutang dikongsikan oleh Dr. Badrul Hisham

oleh Asri Yussof pada 24 Mar 2019

Statistik pada tahun 2018 menunjukkan Golongan berusia antara 35 hingga 44 tahun paling ramai terbabit dalam kebankrapan iaitu 34.4 peratus daripada jumlah keseluruhan. Melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), hutang kereta atau hutang peribadi antara penyumbang besar kepada masalah ini.

Bagaimana kita boleh menyelesaikan masalah ini?

Dr. Badrul Hisham dalam bukunya Anak Muda Bebas Hutang menulis 7 langkah yang boleh kita ikut jika mahu hidup bebas hutang.

1. Mulakan dana kecemasan sebanyak RM1000

Dana kecemasan adalah untuk perkara-perkara yang tidak dijangka berlaku. Seperti kereta rosak, paip bocor, ibu sakit dan lain-lain yang berlaku secara mengejut. Sekurangnya kita sudah ada sedikit dana untuk bantu diri sendiri.

2. Selesaikan semua hutang kecuali pinjaman

Buatkan senarai huang-hutang yang kita ada kecuali pinjaman rumah. Selesaikan pinjaman dengan baki terendah, terutama yang melibatkan institusi kewangan. Kalau ada dua pinjaman, bayar pinjaman dengan kadar bunga yang paling tinggi dahulu.

3. Buat simpanan perbelanjaan 3 hingga 6 bulan

Ini langkah bagi membina dana kecemasan penuh. Contoh, jika perbelanjaan bulanan kita RM3000, dan kita mahu buat simpanan 3 bulan, jumlah simpanan yang kita perlukan adalah RM9000. Dengan cara ini, kalau kita diberhentikan kerja pun, sekurangnya kita dapat bersedia.

Anak Muda Bebas Hutang tulisan Dr. Badrul Hisham
Anak Muda Bebas Hutang tulisan Dr. Badrul Hisham

4. Melabur sekurang-kurangnya 15% pendapatn untuk dana persaraan

Kita semua akan tua, ini fakta. Jadi kita perlu bersedia untuk menghadapi persaraan. Tanpa pembayaran pinjaman bulanan dan dengan dana kecemasan yang mencukupi, kita sudah boleh mula meletakkan 15% pendapatan untuk hadapi hari tua.

Antara pelaburan yang dicadangkan oleh Dr. Badrul Hisham antaranya, pelaburan hartanah, saham, saham amanah, komoditi, ASB dan Tabung Haji. pelaburan yang bijak boleh menguntungkan masa depan kita.

5. Perbelanjaan pendidikan anak

Mula menyimpan untuk pendidikan anak-anak sejak mereka kecil lagi. Mula menyimpan sekarang, jadi kita akan bersedia sebaik sahaja anak kita tamat tingkatan lima.

6. Habiskan pinjaman perumahan segera

Mereka yang betul-betul merancang sebenarnya boleh menghabiskan pinjaman perumahan dalam masa lima hingga tujuh tahun. Seronok bila sudah habis bayar sebab kita sudah tiada lagi hutang dan hidup bebas!

7. Bina kekayaan dan bersedekah

Jadi pemurah dan wariskan kekayaan kita untuk generasi masa hadapan. Mula menyimpan dan melabur dari sekarang. Ianya lebih mudah daripada apa yang kita sangkakan. Dan berbaloi!

Cara mudah menabung adalah (wang masuk - simpanan = wang belanja). Pertama rancang matlamat simpanan, kedua buat analisa wang keluar dan wang masuk. Ketiga pilih jenis simpanan yang sesuai, keempat mula menyimpan dan terus konsisten dan kelima pantau perkembangan tabung.

Lebih banyak lagi maklumat dan info yang dikongsikan oleh Dr. Badrul Hisham di dalam bukunya Anak Muda Bebas Hutang.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024