Artikel

Pergi Bali dengan mudah - Rujuk buku I’m A Backpacker Indonesia

oleh Asri Yussof pada 26 Mar 2019

Yang menarik dengan buku ini dari helaian pertama hingga akhir, semua gambar cantik-cantik. Penulis buku ini Farizun Amrod adalah seorang jurugambar profesional, satu kelebihan untuk menikmati buku ini dengan gambar-gambar pengalaman penulis yang cantik.

Bali, Indonesia. Gambar dari Pixabay.com
Bali, Indonesia. Gambar dari Pixabay.com

Buku ini mempunyai empat bab kesemua. Ia merangkumi pengalaman penulis sendiri di Bali, Lombok dan Nusa Penida. Dalam bab yang pertama, Farizun juga berkongsi tentang persediaan yang perlu kita buat sebelum mengembara dan tips melancong ke Indonesia.

Indonesia adalah negara kepulauan yang besar. Dari Aceh sampailah ke Papau, mereka mempunyai lebih daripada 17 ribu pulau kecil, dan masih banyak antara pulau-pulau ini yang tidak berpenghuni.

Saya lampirkan di sini beberapa tips yang dikongsikan oleh penulis sebagai persediaan untuk melancong ke Indonesia:
Lebih banyak tips yang dikongsikan oleh penulis di dalam buku ini.

  1. Kaji tempat yang ingin dilawati. Baca dari laman-laman sesawang atau majalah-majalah kembara yang ada di pasaran untuk mendapatkan sedikit sebanyak maklumat yang penting.

  2. Tempah tiket penerbangan seawal 6 bulan atau lebih awal lagi untuk mendapatkan harga tiket dengan lebih jimat.

  3. Sebelum menempah tiket, sila pastikan sama ada negara yang ingin kita lawati itu pada musim apa. Adakah pada musim cuti persekolahan atau tidak. Selalunya pada musim cuti persekolahan, harga-harga di tempat-tempat tertentu akan menjadi mahal kerana permintaan yang tinggi.

  4. Sediakan itinerari sebelum berangkat. Untuk melancarkan perjalanan di negara orang. Itinerari akan membantu mempercepatkan proses kita bersoal jawab dengan imigresen.

  5. Bagi yang ingin memandu sendiri ketika di Indonesia, sila pastikan untuk membuat lesen kenderaan antarabangsa. Ini bagi mengelakkan disaman oleh polis di Indonesia. Mudah sahaja, anda terus ke pejabat JPJ dan bayarannya sekitar RM150 sahaja.

Saya belum pernah sampai ke Bali atau Lombok, sebab itu sangat tertarik bila tahu Puteh Press akan menerbitkan buku backpacker ke Indonesia yang memberi fokus kepada Bali dan Lombok. Balidan Lombok suasana berbeza. Lebih dekat dengan alam berbanding di kota-kota lain seperti Jakarta.

Bali Indonesia. Gambar dari Pixabay.com
Bali Indonesia. Gambar dari Pixabay.com

Penulis juga kongsikan tempat-tempat yang wajib singgah jika berkungjung ke Bali atau Lombok. Yang paling saya nak pergi adalah ke Pura Luhur Uluwatu. Farizun menulis, mereka yang datang ke sini akan dapat menikmati Lautan Hindi yang luas terbentang dengan ombak memukul di tebing pantai.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024