Artikel

Abd Rahman Auf: Persaudaraan Islam Asas Empayar Bisnes (siri 3)

oleh Hairul Faizal Adli pada 15 Feb 2012

Abdul Rahman Bin Auf meninggalkan segala harta kekayaannya semasa berhijrah ke Madinah. Di sana, Rasulullah mempersaudarakan beliau dengan Saad Bin Rabi, tokoh golongan Ansar yang kaya. Atas dasar persaudaraan Islam yang kukuh, Saad menawarkan separuh kekayaannya untuk diberikan kepada Abdul Rahman. Saad juga rela menceraikan salah seorang isterinya supaya dapat dikahwini oleh Abdul Rahman. Tawaran dan niat baik Saad ini ditolak lembut oleh Abdul Rahman dengan kata-kata yang masyhur ini,

“Saudaraku, semoga Allah memberkati keluarga dan harta benda saudara. Jangan disusahkan tentang diri saya. Yang penting, saudara sudi menunjukkan jalan menuju ke pasar.”

Sahabat-sahabat Muhajirin yang lain juga dipersaudarakan dengan golongan Ansar. Dengan adanya ikatan persaudaraan ini, mereka sanggup memberikan harta benda bagi dijadikan modal bisnes sehingga akhirnya ekonomi Muhajirin dapat dipulihkan. Konsep persaudaraan ini adalah asas tertegaknya empayar pemerintahan Islam di Madinah. Persaudaraan ini juga menjadi asas pembinaan empayar bisnes Abdul Rahman yang berjaya memecahkan monopoli orang Yahudi di Madinah.

Islam tidak menganjurkan permusuhan dan persaingan. Islam menganjurkan bantu-membantu dan berlumba-lumba mengejar kurniaan Allah. Persaudaraan Islam yang kukuh adalah networking yang terhebat dalam dunia bisnes.

Abdul Rahman mendapat Saad sebagai saudara dan rakan kongsi bisnesnya. Namun, beliau langsung tidak mengambil kesempatan atau mempergunakan Saad untuk kepentingan diri. Dalam konsep kafilah dagang yang dijelaskan dalam siri kedua, persaudaraan juga menjadi asas kepada kejayaan bisnes kafilah dagang. Ahli kafilah dagang akan bekerjasama menghadapi cabaran di sepanjang perjalanan. Mereka juga bersatu hati mempertahankan kafilah dagang daripada serangan perompak padang pasir.

Keistimewaan dan isi kandungan buku Rahsia Jutawan Islam Abdul Rahman Bin Auf sudah dijelaskan dalam tiga siri ulasan sebelum ini. Daripada ribuan ayat dan puluhan rahsia kekayaan Abdul Rahman, hanya sebahagian yang dapat dikongsikan dalam ulasan yang ringkas ini.

Untuk mendapatkan lebih banyak rahsia dan lebih kepuasan, tuan puan boleh mendapatkan buku Rahsia Jutawan Islam Abdul Rahman Bin Auf di kedai buku yang berhampiran. Untuk diskaun istimewa dan penghantaran terus ke rumah, tuan puan boleh melayari www.bookcafe.com.my untuk maklumat lanjut.

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024