Artikel

Adakah Gaya Lelaki dan Perempuan Berkomunikasi Berbeza?

oleh Helmi pada 24 May 2004

Prof. J.T. Wood dalam bukunya Relational Communication menyenaraikan sepuluh tujuan mengapa perempuan bercakap:

1. Menjalin dan membina hubungan

Matlamat utama perempuan bercakap-cakap dan berbual-bual adalah kerana hendak menjalin, membina dan mengekalkan perhubungan dan persahabatan. Perempuan mendapat keseronokan dan kepuasan melalui kegiatan berkenalan dan berkawan-kawan. Kegiatan berbual-bual menjadi cara utama yang mereka gunakan bagi mencapai matlamat itu. Ini berbeza sekali daripada tujuan mengapa lelaki bercakap. Mereka bercakap kerana mereka ada idea ataupun perkara yang hendak disampaikan, bukan kerana mereka hendak mencari kepuasan berbual-bual. Lelaki mendapat kepuasan berkawan-kawan dan berkasih sayang dengan cara melakukan kegiatan bersama-sama dengan orang yang mereka sukai. Percakapan yang menyeronokkan lelaki adalah percakapan berkenaan aktiviti-aktiviti yang mereka lakukan, dan idea-idea yang mereka miliki. Oleh sebab itu, tujuan lelaki adalah bercakap bagi mengemukakan pendapat-pendapat mereka dan bagi menyampaikan arahan-arahan mereka. Jikalau tidak ada apa-apa pendapat ataupun idea, ataupun arahan yang hendak mereka sampaikan, lelaki tidak bercakap. Perbezaan ini menyebabkan perempuan dan lelaki masuk persatuan atas alasan yang berbeza. Perempuan masuk persatuan kerana dengan memasuki persatuan, mereka dapat berbual-bual dan menjalin persahabatan. Lelaki masuk persatuan kerana mereka berminat dengan objektif dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh persatuan itu.
2. Berkongsi pengalaman dan mendedahkan diri

Perempuan suka menceritakan siapa dirinya dan segala perkara yang mereka alami kepada individu lain. Itulah sebabnya perempuan suka bercakap-cakap dan berbual-bual kerana hanya dengan cara itu mereka dapat menceritakan hal-hal berkenaan diri mereka. Perbuatan ini diistilahkan sebagai pendedahan diri. Maka, tidak hairanlah topik-topik popular di kalangan kaum perempuan apabila mereka berbual-bual adalah berkenaan diri mereka sendiri, suami, anak-anak, kaum keluarga dan berkenaan sahabat-sahabat mereka sendiri. Perempuan dapat mengalami perasaan puas hati melalui kegiatan pendedahan diri. Ini kerana, mereka percaya, dengan melakukan perbuatan itu, mereka berasa diri mereka diterima, dihargai, difahami dan disukai oleh individu-individu yang mendengar cerita-cerita mereka itu. Kajian-kajian menunjukkan perempuan suka kepada doktor-doktor yang mahu mendengar mereka bercerita. Ini berbeza daripada sifat lelaki. Mereka tidak suka mendedahkan diri mereka. Kepada lelaki, perbuatan mendedahkan diri membahayakan diri mereka, kerana mereka bimbang maklumat-maklumat itu akan menikam diri mereka sendiri. Itulah sebabnya, lelaki tidak suka bercakap tentang hal-hal peribadi mereka kerana maklumat-maklumat itu dapat digunakan oleh individu lain bagi melukai mereka.

3. Mencipta persamaan dan keserupaan

Perempuan suka bercakap-cakap berkenaan perkara-perkara di mana mereka sama dan serupa dengan rakan bual mereka. Sebagai contoh, mereka suka bercakap berkenaan perkara-perkara yang sama-sama mereka minati ataupun sama-sama mereka benci, supaya dengan itu mereka berasa serupa dan setaraf. Perasaan seperti itu memang penting bagi menjalin persahabatan dan perasaan suka sama suka. Ini berbeza daripada lelaki. Mereka bercakap dengan tujuan hendak membayangkan status dan kuasa yang ada pada mereka. Oleh itu lelaki akan bercakap berkenaan perkara-perkara yang melambangkan status dan kuasa yang mereka miliki. Tidaklah hairan apabila lelaki suka bercakap tentang aktiviti-aktiviti yang berstatus dan berkuasa yang mereka lakukan. Dengan cara bercakap berkenaan perkara-perkara seperti itu, dengan halus mereka dapat memberitahu di mana mereka lebih istimewa ataupun berbeza daripada rakan-rakan bual mereka.

4. Menyatakan timbang rasa dan pengertian

Perempuan suka berkongsi pengalaman dan perasaan dengan rakan-rakan bual mereka. Mereka suka berkongsi pengalaman-pengalaman yang serupa. Dengan cara itu mereka dapat menyatakan perasaan empati, saling faham memahami, timbang rasa dan belas kasihan terhadap satu sama lain. Ini berbeza daripada lelaki. Apabila lelaki berkongsi pengalaman, tujuan mereka adalah bagi menarik perhatian orang, dan bagi menunjukkan bahawa pengalaman mereka lebih luar biasa dan lebih hebat, ataupun lebih teruk lagi daripada apa yang dialami oleh rakan bual mereka.

5. Memberi dukungan emosi

Perempuan akan bercakap dengan tujuan hendak memberi sokongan, dorongan dan bantuan perasaan kepada rakan bual mereka. Mereka bercakap bagi memberitahu bahawa mereka faham dan dapat merasai apa yang individu itu rasai. Ini berbeza daripada lelaki. Mereka bercakap bagi membantu orang menyelesaikan masalah mereka dengan memberi idea, cadangan ataupun nasihat supaya masalah itu dapat diselesaikan.

6. Mengajak individu lain ikut serta

Perempuan suka mengajak individu-individu lain ikut serta bercakap-cakap dan berbual-bual dengan mereka. Ini kerana mereka lakukan dengan bertanya apa pendapat individu-individu itu dan menggalakkan mereka supaya bercakap dengan lebih panjang lebar berkenaan topik perbualan. Oleh itu mereka sanggup menunggu giliran bercakap supaya individu-individu lain juga dapat peluang bercakap. Ini berbeza daripada lelaki. Mereka tidak suka individu lain “merebut mikrofon yang mereka pegang”. Sebaliknya, mereka suka merebut mikrofon dari individu lain. Kajian menunjukkan lelaki kerap mencelah individu lain, terutama apabila yang bercakap itu perempuan.

7. Memupuk perbualan supaya diteruskan

Perempuan bercakap supaya perbualan mereka diteruskan berpanjangan. Ini mereka lakukan dengan cara menanya soalan-soalan dan berlakon seolah-olah mereka seronok mendengar apa yang sedang diperbualkan. Tujuannya adalah supaya mereka dapat terus bercakap-cakap. Bagi lelaki, setiap individu mesti menjaga urusan sendiri apabila bercakap. Mereka tidak berasa bahawa mereka bertanggungjawab menolong individu lain supaya dapat peluang bercakap.

8. Menunjukkan perasaan prihatin

Perempuan bercakap bagi memberitahu rakan bual mereka bahawa mereka mengambil berat dan berminat mendengar apa yang dipercakapkan. Ini berbeza daripada lelaki. Mereka bercakap bagi memberitahu apa pendapat mereka sendiri dan bahawa pendapat mereka adalah lebih baik daripada pendapat rakan-rakan bual mereka.

9. Membenarkan individu lain bercakap

Perempuan bercakap secara berlapik-lapik, supaya individu-individu lain masih dapat mengemukakan pendapat-pendapat mereka, supaya perbualan itu bertambah rancak dan memuaskan semua pihak. Lelaki pula bercakap dengan gaya asertif kerana mereka mahu individu-individu lain memandang dirinya seorang individu yang tegas, yakin dan berkuasa.

10. Mendalamkan lagi hubungan

Bagi perempuan, aktiviti bercakap-cakap dan berbual-bual adalah penting bagi menjalin hubungan dan kemesraan. Dengan bercakap-cakap mereka dapat mendalamkan lagi hubungan yang ada. Caranya adalah dengan membawa masuk perkara-perkara sampingan ke dalam perbualan itu. Dengan demikian, aktiviti perbualan itu menjadi luas dan bermakna kerana berbagai-bagai perkara dapat dikaitkan dan dibualkan. Tetapi, bagi lelaki, perbualan mesti mempunyai matlamat, dan perbualan yang bermakna adalah perbualan yang mencapai matlamat itu. Perkara-perkara sampingan yang kecil-kecil dianggap tidak ada kaitan dan hanya menyelewengkan perbualan itu daripada perkara-perkara pokok yang mesti dibincangkan. Itulah sebabnya, lelaki tidak suka perbincangan yang bertele-tele, seolah-olah tidak tentu hujung pangkal, seperti yang disukai oleh perempuan. Bagi lelaki, lebih cepat perbincangan itu mencapai matlamatnya, itu lebih baik.

“Itu kan perkara kecil. Apa yang awak risaukan?” (salah)

“Bukan itu maksud saya. Awak tidak faham.” (salah)

“Janganlah awak peduli perkara remeh itu.” (salah)

“Yalah, saya salah. Saya minta maaf. Awak betul.” (salah)

“Buat sajalah. Apa yang awak cakap-cakap lagi.” (salah)

“Apa yang awak cuba cakap ini?” (salah)

“Kan kita selalu bercakap-cakap?” (salah)

“Yang awak marah-marah ini, kenapa?” (salah)

“Awak kata saya selalu tidak ada di rumah. Baru semalam saya di rumah sepanjang hari dengan awak.” (salah)

“Oke, oke. Saya tolong awak sidai kain. Awak rehatlah.” (salah)

“Kalau awak tidak suka buat kerja itu, janganlah buat. Kenapa awak hendak buat juga?” (salah)

“Kita tidak dapat hendak buat apa-apa. Biarkanlah sahaja.” (salah)

“Kalau itu yang awak hendak, biar saya buat kerja itu. Jadi awak tidak payah risau lagi.” (salah)

“Jangan peduli cakap orang. Awak suka benar dengar cakap kawan-kawan awak.” (salah)

“Kalau awak sudah tahu, kenapa tidak buat sahaja?” (salah)

“Kalau tidak suka, cakap. Saya dapat keluar.” (salah)

“Cakap sajalah, apa yang awak hendak?” (salah)

“Jangan berleter.” (salah)

“Apa lagi yang tidak cukup?” (salah)

“Ikut suka awaklah.” (salah)

Ayat-ayat di atas sama ada menidakkan, menasihati, menerangkan ataupun memberi cadangan jalan keluar. Kata-kata seperti itu menyakiti hati perempuan.

Apabila perempuan bercakap, mereka akan memberi nasihat dan tunjuk ajar supaya suami mereka menjadi orang yang lebih baik. Bagi si isteri, dia cuba menasihati suami. Itu sahaja. Bagi lelaki, isterinya cuba mengongkong dirinya.

“Buat apa awak beli kamera lagi. Yang ada itu pun masih baik. Janganlah kuat membazir. Membazir itu kawan syaitan.” (salah)

“Lantai itu masih basah. Janganlah pijak, nanti kotor.” (salah)

“Rambut awak itu sudah panjang. Pergilah gunting.” (salah)

“Pelan-pelan. Ada kereta di depan itu.” (salah)

“Awak ini asyik hendak pergi main golf sahaja dengan kawan-kawan awak. Saya ini, macam mana?” (salah)

“Awak itu sudah tua. Janganlah kerja teruk-teruk . Rehatlah. Nanti awak sakit.” (salah)

“Jangan letak kasut di situ. Nanti hilang.” (salah)

“Kenapa tidak suruh orang potong rumput itu sahaja?” (salah)

“Awak tidak pernah ada masa untuk anak-anak. Mereka pun tanggungjawab awak juga.” (salah)

“Awak ini asyik lupa sahaja pesan saya. Lain kali tulislah dalam diari awak itu.” (salah)

“Jangan letak kereta di sini. Nanti kita kena saman.” (salah)

“Awak jangan makan rendang ini. Banyak kolesterol. Makan sayur ini sahaja. Nanti sakit jantung, susah.” (salah)

“Baju awak itu tidak kena dengan warna tali leher awak. Tukarlah yang lain.” (salah)

“Awak tidak cakap awak hendak sambal belacan. Manalah saya tahu. Lain kali cakaplah awal-awal. Dapat saya buat.” (salah)

“Stoking busuk awak itu, janganlah letak dalam kasut sahaja. Masukkan dalam bakul kain itu.” (salah)

“Siapa buka ubat gigi, tetapi tidak tutup balik, ini?” (salah)

“Kereta awak itu sudah macam kereta kontraktor kotornya. Eloklah awak basuh biar nampak bersih.” (salah)

“Lengan baju awak kotor. Pakai baju baik-baiklah sedikit.” (salah)

“Awak ini berdengkur kuat sangatlah, sampai saya susah hendak tidur.” (salah)

Ayat-ayat di atas mengandungi kritikan ataupun nasihat supaya si suami dapat memperbaiki sikap dan tabiat-tabiatnya. Bagi lelaki, ayat-ayat di atas menuduh dirinya adalah masalah kepada si isteri. Itulah sebabnya, lelaki “pekak” kepada teguran-teguran dan nasihat-nasihat isteri mereka. Kata-kata di atas menyakitkan hati orang yang menerima kata-kata itu.

Kajian menunjukkan perempuan lebih mudah menyatakan perasaan dibandingkan dengan lelaki. Dalam mencipta kebahagiaan, perbuatan menyatakan perasaan adalah penting, tetapi ia ada risikonya. Risiko itu bukan pada perasaan yang dinyatakan, tetapi pada cara-cara kita menyatakannya. Apabila menyatakan perasaan, ada beberapa prinsip yang mesti dijaga.

1.  Jangan gunakan ayat-ayat yang membawa makna “awak.”

“Awak tidak peduli saya.” (salah)

“Awak pentingkan perasaan awak sahaja.” (salah)

“Awak kejam.” (salah)

“Awak tidak nampakkah saya penat ini?” (salah)   

“Awak sudah gilakah?” (salah)

“Awak buat saya macam hamba.” (salah)

Ayat-ayat di atas menunjukkan kita tidak mahu bertanggungjawab kepada perasaannya sendiri. Kita katakan “awak” yang bertanggungjawab membuatnya berasa begini. Ayat-ayat seperti ini bersifat ofensif, ataupun menuduh dan menyakiti hati orang yang dituduh. Apabila seseorang itu menggunakan ayat-ayat ofensif, orang akan membalas ayatnya dengan ayat ofensif juga. Cara yang betul adalah dengan menggunakan ayat-ayat yang membawa makna “saya.”

“Saya berasa macam tidak dipedulikan.” (betul)

“Saya berasa perasaan saya tidak dipentingkan.” (betul)

“Saya berasa seolah-olah saya dilayan dengan kejam.” (betul)

“Saya penat.” (betul)

“Saya tidak faham awak.” (betul)

“Saya berasa macam hamba.” (betul)

Ayat-ayat “saya” tidak menuduh sesiapa. Perasaan itu adalah perasaannya. Kita bertanggungjawab atas apa yang dirasai.

2.  Nyatakan betapa seriusnya perasaannya dengan jelas tanpa menuduh sesiapa dan tanpa mengadili.

“Sakitnya hati saya macam hendak menangis rasanya.” (betul)

“Kalau saya ikut perasaan marah saya, saya tak mahu balik lagi ke rumah ini.” (betul)

“Kalau tidak kerana anak-anak biarlah saya keluar sahaja. Saya tidak tahan lagi. Tetapi saya ingat anak-anak.” (betul)

“Saya berasa saya ini macam kain buruk sahaja di rumah ini. Rasanya, saya langsung tidak berguna. Inilah perasaan saya sekarang.” (betul)

3.  Beritahu perasaan yang dirasai dengan jelas.

“Saya marah.” (betul)

“Saya kecewa.” (betul)

“Saya sakit hati, saya sedih, saya malu.” (betul)

“Saya berasa seperti saya ditipu, dikhianati, ditikam dari belakang.” (betul)

“Saya takut.” (betul)

“Saya bimbang, sangsi, ragu.” (betul)

“Saya hilang kepercayaan.” (betul)

4.  Terangkan keadaan yang bagaimana yang menyebabkan kita berasa begitu. Tetapi jangan menuduh sesiapa.

“Bila awak diam tidak mahu bercakap dengan saya, saya berasa jauh hati.” (betul)

“Saya tidak seronok bila awak potong cakap saya.” (betul)

5.  Jangan sekali-kali gunakan ayat-ayat “tanpa kecuali.” Ayat-ayat jenis ini ofensif,

“Awak tidak pernah ingat saya.” (salah)

“Awak memang tidak suka saya ikut.” (salah)

“Awak sentiasa lupa pada saya.” (salah)

“Awak selalu tidak dengar bila saya bercakap.” (salah)

“Sejak bila pula awak baik hati ini?” (salah)

“Semua orang kata awak itu tidak peduli keluarga.” (salah)

“Dari dulu sampai sekarang awak macam itulah.” (salah)

“Bila pula awak ingat saya?” (salah)

“Awak itu bangsa pelupa.” (salah)

Kalau puan bercakap dalam bahasa Inggeris, jangan gunakan perkataan “never” dan “always.”

6.  Beritahu dengan terus terang apa yang kita mahu pasangannya lakukan.

“Tolong puji saya sekali-sekala.” (betul)

“Tolong rendahkan sedikit suara awak.” (betul)

“Tolong sidaikan kain.” (betul)

“Tolong urut saya.” (betul)

“Saya ingin keluar berdua sahaja dengan awak.” (betul)

“Marilah, duduk di sini dengan saya.” (betul)

“Peluk saya lama-lama sedikit.” (betul)

“Potongkan kuku saya.” (betul)

“Tolong layan saya bila makan.” (betul)

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024