Artikel

Adakah kita tahu makna sebenar perkataan ‘Sastera’ ?

oleh Asri Yussof pada 14 Jan 2019

Mungkin ramai yang tahu termasuk saya bahawa sastera adalah dongeng atau cerita-cerita atau novel-novel. Ketika di sekolah saya hanya tahu sastera adalah subjek yang diajar untuk budak kelas hujung. Budak-budak bijak semua disuruh masuk kelas aliran sains. Tetapi sebenarnya sastera lebih dari sebuah novel.

Satu petikan dari Albert Einstein yang begitu berkesan untuk kita semua, beliau memberitahu kalau mahu anak-anak menjadi bijak, bacakan mereka cerita dongeng. Jika mahu mereka menjadi lebih bijak bacakan kepada mereka lebih banyak dongeng.

“If you want your children to be intelligent, read them fairy tales. If you want them to be more intelligent, read them more fairy tales”- Albert Einstein.

Sastera adalah kehidupan yang berubah-ubah dalam masyarakat setempat. Sastera adalah mimpi anak-anak kecil untuk masa depan mereka- tentang apa yang mereka mahu bangunkan di masa depan nanti. Sastera adalah buah yang ranum dan nasi yang mengenyangkan- yang jika tiada boleh mati kita.

“Kesusasteraan bukanlah taman bunga tempat orang sesekali datang berehat-rehat menghirup udara segar dalam masa lapangnya. Kesusasteraan ialah rumah dan kehidupan manusia yang berombak dan bergelombang, dengan denyut nafas dan degup gantungnya… tidak saja manusia mempunyai tujuan dalam hidupnya, kesusasteraan pun mempunyai tujuan. Jika manusia hidup mempunyai tujuan yang diterimanya sebagai suatu tugas, masa kesusasteraan pun mempunyai tujuan dan kewajiban yang disebut sebagai tema dan tugas sastera. Sastera bukanlah hanya sastera semata, tetapi sastera ialah alat untuk mencapai tujuan, iaitu mempertajam pandangan manusia terhadap hidupnya, mempertinggi kesedarannya dan memperkaya jiwa yang keseluruhannya mempertinggi tingkat peradaban manusia.” - Dipetik dari Usman Awang dan A. Samad Said (Singapura: Federal Berhad, 1963).

Bercakap mengenai sastera, Azhar Ibrahim dalam bukunya Kemanusiaan Sastera, memberi kritikan terhadap sastera yang tidak berpihak, neutral dan sastera yang menjadi tempat hiburan semata-mata.

“Sayangnya, aliran sastera kita yang semakin beragam ini, ada pula yang kian terperosok ke dalam.”

“Mendalami perihal permasalahan masyarakat terus dianggap, pada satu pihak tertentu, sebagai terlalu ingin “mengajar” dan justeru itu dianggap tidak “cukup sastera” atau “bukan sastera”.

“Malah ada yang lebih mundur lagi apabila mengatakan sastera hanya sebagai ranah untuk berhibur, menghirup keindahan estetika, ia bererti menjurus pada hal-hal teknikal dan struktur karya. Malah, ia menjadikan kita politically quietistic, kerana yang dipeduli adalah teks sastera dan bukan konteks yang melatari pesan-pesan yang mungkin mahu disampaikan oleh para penulis.”

A. Samad Said

Kredit foto: BH

Sastera sebenarnya adalah wajah rakyat. Kita ambil contoh novel Salina, karya A. Samad Said tentang seorang perempuan bernama Salina yang dibelenggu kemiskinan untuk mencari kerja sebagai pelayan di Singapura dan Tanah Melayu (Malaysia) pada tahun 50-an.

Seperti juga novel Gadis Pantai, karya Pramoedya Ananta Toer yang menyingkap sikap feudalisme di Jawa. Perkahwinan yang diatur dengan seorang bangsawan yang kaya. Dipaksa meninggalkan ibu bapanya dan berpindah ke bandar untuk menjadi ‘wanita’ di rumah suaminya.

pramoedya ananta toer

Sastera bukanlah hanya sehelai kertas yang dibaca ketika lapang, tetapi sastera adalah lidah. Menguak pintu penguasa, menentang autoriti, melawan kebodohan agama dan melaungkan ketidakadilah yang membuak di dalam ranah masyarakat. Satera adalah cerminan kita. Cerita-cerita yang ditulis adalah nafas-nafas orang yang masih hidup mahupun yang sudah pergi meninggalkan dunia ini.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024