Artikel
Aku Dekat…Kau Dekat…. (Curahan Cinta Niagara)
oleh Helmi pada 13 Sep 2007
Di dalam novel ini, penulis membuat kajian terlebih dahulu sebelum menulis kerana semua fakta adalah betul dan bukan fakta yang semberono. Aku menghargai apa yang telah ditulis oleh Maya Iris ini. Novel beginilah yang sepatutnya dijadikan bahan bacaan. Ada bahagian-bahagian yang membuatkan aku menangis kerana terasa dekat denganNya. Novel ini secara tidak langsung telah meninggalkan kesan di hati aku untuk menjadi muslimah yang lebih baik. Aku amat memahami situasi Mira apabila dia memakai tudung di dalam rumah mertuanya. Dahulu semasa aku mula mahu memakai tudung secara sempurna - menutup aurat apabila berhadapan dengan yang bukan muhrim - memang sukar tetapi aku kuatkan juga semangat. Semasa aku di kampung bayangkan aku memakai tudung di dalam rumah 24 jam. Ada juga orang bertanya, kenapa aku begini. Sedih apabila ada orang bertanya begitu… Hukum Allah tidak difahami sepenuhnya oleh orang Islam sendiri. Aku ni pun bukanlah alim sangat, tetapi aku ingin ke arah itu. Aku ingin menjadi lebih baik. Buat apa kita bertangguh membuat perkara yang baik. Setelah berkahwin, aku mempunyai seorang adik ipar lelaki. Di hadapannya aku akan memakai tudung walaupun di dalam rumah. Aku ada juga bertanya pada adik ipar aku, faham tak kenapa akak pakai tudung apabila A**r*l ada? Syukurnya apabila aku dengar jawapan dia yang dia faham malahan keluarkan hadis lagi. Bertuahnya mendapat adik ipar seperti ini. Berbalik kepada Curahan Cinta Niagara. Ada satu frasa yang sangat aku suka dalam novel ini. Semasa Kak Fisa menasihati Mira; “Ujian Allah datang dalam berbagai-bagai bentuk.” Frasa ini juga diulang berkali-kali dalam pelbagai situasi bagi memahamkan lagi maksud frasa tersebut kepada pembaca. Konsep ini sama sekiranya kita mahu ajar anak membaca, perkataan / frasa haruslah ditunjukkan berulang kali kepada anak agar si anak mengingatinya dalam otak. Agaknya Maya Iris menggunakan konsep yang sama…. Ia terkesan pada hati aku. Sangat terkesan.