Artikel

Aku Nabi Isa!

oleh Noor Hidaya Arshad pada 30 Jan 2015

‘Jangan kau hinakan orang gila,

Kerana sekurang-kurangnya mereka jujur dengan kegilaannya,

Sedangkan kewarasanmu belum tentu kejujurannya.’

Nukilan penulis di awal naskhah ‘Aku Nabi Isa!’

 

Tajuk buku ini sangat menangkap mata. Siapa yang begitu berani mengaku dirinya sebagai nabi? Orang gila sahaja yang akan berkata demikian. Istilah ‘gila’ sering kita gunapakai bagi menggambarkan ketidakwarasan seseorang.

Tetapi benarkah seseorang itu gila jika dia berkelakuan luar dari norma manusia biasa?

Penulis yang merupakan seorang doktor psikiatri ini menghidangkan kepada pembaca pengalamannya berkhidmat di wad pesakit mental di Adelaide, Australia.

Pengalaman yang dikira cukup memberi pengajaran bagi sesiapa yang berfikir. Kita dibawa meneroka detik-detik ketika penulis berdepan dengan pesakit yang nekad membunuh diri, kemurungan yang terlampau, mengalami tekanan perasaan, nyanyuk, dan pelbagai penyakit mental yang dialami mereka.

Apa yang menariknya buku ini adalah penulis sentiasa mengetengahkan psikologi dari perspektif Islam selain mengambil sudut pandangan moden.

Definisi penyakit diterangkan secara terperinci, disertakan cara rawatan dengan pendekatan moden dan Islam.

Ada bait kata penulis yang boleh kita hayati, ‘Dalam kehidupan ini banyak perkara yang kita tahu. Banyak juga perkara yang kita tidak tahu.

Namun kadangkala, kita tidak mahu tahu perkara yang kita tidak tahu kerana kita takut perkara yang kita tahu itu nanti akan mengubah apa yang kita tahu.’

Naskah ini mampu mengubah perspektif kita terhadap pesakit mental. Kita semua sebenarnya mampu menjadi penyelamat mereka kerana kita dianugerahkan nikmat kewarasan oleh Tuhan yang maha esa.


Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024